Muhammad Saufi Hassan

BAGI sesebuah desktop yang mahu melancarkan sebarang perisian berprestasi tinggi dan menggunakan keperluan data grafik, sudah pasti Unit Pemprosesan Grafik (GPU) atau kad grafik adalah perkara yang wajib ada.

Sebagai seorang ‘gamer,’ umpama cacat jika tidak mengetahui maklumat sedikit seba­nyak berhubung kad grafik ini kerana cip berkenaan menjadi nadi untuk melancarkan sebarang perisian yang menggunakan data grafik yang tinggi.

Kad grafik ini bukan saja terpakai untuk kaki game, malah individu yang melaksanakan tugas seperti sintesis imej (image rendering) turut memerlukan unit kad grafik ini supaya mempercepat­kan proses sintesis.

Secara asasnya, GPU ini sangat diperlukan untuk tugas pemprosesan data grafik yang tinggi seperti permainan video, proses sintesis imej termasuk pengubahsuaian gambar menerusi perisian tertentu.

Bagi yang masih tidak mengetahui GPU, ia adalah cip bertugas untuk memproses data grafik dihantar Unit Pemprosesan Pusat (CPU) sebelum sebarang bentuk imej atau video dipaparkan di skrin.

GENERASI kad grafik terbaru Nvidia.
GENERASI kad grafik terbaru Nvidia.

Jika menyebut GPU, pastinya jenama ASUS Republic of Gamers (ROG) antara syarikat yang paling unggul me­ngeluarkan kad grafik daripada dua entiti syarikat pempaten iaitu Nvidia dan ATi.

Unit pemprosesan grafik ini boleh didapati di dalam papan induk (motherboard) dan kini pengeluar pemproses terkemuka Advanced Micro Devices (AMD) menerusi Ryzen generasi keduanya turut memberikan unit pemprosesan terbina.

Bagaimanapun, unit pemprosesan grafik terkini ini selalunya mempunyai kapasiti terhad berbanding kad tambahan yang berharga ratusan hingga ribuan ringgit memandangkan ia perkakasan tambahan untuk desktop.

Unit pemprosesan grafik yang dipakejkan sebagai perkakasan tambahan dikenali sebagai kad grafik dan ia boleh didapati di pasaran serta pelbagai jenama mengeluarkan kad berkenaan daripada pakej dipatenkan.

Kad grafik ini akan disambungkan ke papan induk menerusi slot terbaru iaitu slot PCI Express yang memberikan data pemproses lebih tinggi berbanding dua bentuk slot sebelumnya.

ASUS ROG mengeluarkan kad grafik RTX2080.
ASUS ROG mengeluarkan kad grafik RTX2080.

Evolusi kad grafik ini bermula sekitar 1990-an apabila wujud perisian yang memerlukan data pemprosesan grafik yang tinggi manakala pemproses terbina tidak mampu lagi untuk menampung keperluan semasa.

Pada 1998, slot ini dikenali sebagai PCI dan pada 2005 berlaku evolusi apabila slot berkenaan dikenali sebagai AGP. Menerusi penemuan teknologi terkini, slot berkenaan digantikan dengan PCI Express yang mampu untuk menyokong pemindahan data lebih tinggi berbanding dua generasi slot sebelumnya.

Unit pemprosesan grafik ini mempunyai empat komponen utama iaitu pemproses grafik, ingatan grafik, penukar digital-analog dan sambungan kepada skrin paparan.

Buat masa ini, terdapat dua syarikat gergasi yang mengeluarkan paten GPU iaitu Nvidia serta ATi iaitu syarikat milik AMD. Dua syarikat ini bertindak sebagai saintis yang melakukan pelbagai idea baharu dan wujud puluhan jenama lain yang mengeluarkan kad mereka.

Terkini, Nvidia mengumumkan generasi terbaru kad grafik mereka iaitu RTX generasi kedua yang berkemampuan untuk melaksanakan pemindahan data grafik secara pantas dan menggunakan jenis memori terkini iaitu GDDR6.

KAD grafik terkini keluaran ASUS ROG RTX2080Ti.
KAD grafik terkini keluaran ASUS ROG RTX2080Ti.

Untuk itu, ASUS ROG tidak ketinggalan untuk mengeluarkan kad grafik keluaran Nvidia menerusi beberapa siri dan model paling popular dalam kalangan kaki gamers adalah ASUS ROG STRIX yang kebiasaannya meng­gunakan tiga kipas bagi tujuan penyejukan.

ASUS ROG juga membuktikan berdasarkan generasi terdahulu apabila kad keluaran mereka lebih berprestasi tinggi dan mempunyai capaian memori lebih tinggi berbanding beberapa jenama pesaing lain.

Pastinya, evolusi kad grafik tidak berhenti setakat itu dan dalam tempoh 10 tahun akan datang, wujud teknologi yang lebih maju seperti pengumuman AMD untuk mengeluarkan kad grafik menggunakan pemproses 7nm sekali gus menjadi pengeluar kad grafik pertama menggunakan teknologi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 11:56 AM