PENGUBAHSUIAN kamar tidur, bilik mandi dan ruang tamu mudahkan pergerakan warga emas.
PENGUBAHSUIAN kamar tidur, bilik mandi dan ruang tamu mudahkan pergerakan warga emas.
Yusliza Yakimir Abd Talib


MELIHAT ibu bapa kita yang semakin dimamah usia kekal sihat memang melegakan. Tanyalah mana-mana anak pun, pasti mahu melakukan yang terbaik bagi menjaga kebajikan dan keselesaan ibu bapa.

Banyak perkara yang anak boleh lakukan untuk membantu memastikan ibu bapa yang sudah tua berasa selesa dan selamat di rumah.

Mungkin ketika ibu bapa anda masih muda perkara ini bukanlah satu keutamaan pada masa lalu, namun apabila mereka semakin tua dan kesihatan mula merosot, amat penting untuk anak memberikan perhatian lebih agar setiap risiko kecederaan atau perkara tidak diingini diberi perhatian serius.

Apabila perkara ini diambil kira, anak akan berasa tenang untuk meninggalkan ibu bapa di rumah. Ibu bapa dapat bergerak di rumah dengan selamat menerusi usaha penjagaan dan penyediaan tempat tinggal yang terbaik untuk mereka.

Pakar dan pereka hiasan dalaman terkemuka, Dr Eric Leong berkata, idea pengubahsuaian rumah yang mudah dapat memberi impak yang besar memandangkan ibu bapa banyak menghabiskan masa di rumah.

Katanya, antara perkara terbaik yang boleh dilakukan untuk ibu bapa kita adalah membantu mengekalkan kebebasan mereka di rumah.

“Oleh itu, idea pengubahsuian di kamar tidur, bilik mandi dan ruang tamu dapat memudahkan pergerakan mereka dengan selamat.

“Ini boleh dilengkapkan dengan penggunaan warna yang betul dan aroma yang menyegarkan untuk menjadikan rumah mereka lebih santai,” katanya.

Dr Eric ditemui pada pelancaran kempen Sentiasa Denganmu Mak Abah di Mana Jua: Idea Mudah Untuk Rumah, Ibu Bapa Kita Lebih Selesa anjuran Tena dan Yayasan Kontinens Malaysia, baru-baru ini.

Kempen itu bagi menggalakkan anak agar lebih peka dengan perkara kecil yang boleh dilakukan dan bagaimana mereka dapat memainkan peranan aktif dalam memahami cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa, terutama apabila setiap satu daripada dua warga emas dilaporkan mengalami masalah inkontinens (lemah kawalan pundi kencing).

DR ERIC pada pelancaran kempen Sentiasa Denganmu Mak Abah di Mana Jua: Idea Mudah Untuk Rumah, Ibu Bapa Kita Lebih Selesa.
DR ERIC pada pelancaran kempen Sentiasa Denganmu Mak Abah di Mana Jua: Idea Mudah Untuk Rumah, Ibu Bapa Kita Lebih Selesa.

Oleh kerana inkontinens boleh menjejaskan pergerakan dan kualiti hidup seseorang, kempen ini menawarkan cadangan praktikal daripada pakar mengenai penjagaan yang betul menerusi pengurusan dan pengubahsuaian mudah di rumah bagi membantu ibu bapa yang semakin tua berasa lebih selesa, sambil mengurangkan risiko terjatuh.

Selain itu, sesuatu perlu dilakukan terhadap keselamatan rumah jika ibu bapa mengalami keadaan seperti kesukaran bergerak tanpa bantuan, mempunyai masalah keseimbangan dan koordinasi, masalah mata, dementia, kekeliruan atau batasan mental yang lain.

Maka, adalah penting untuk memeriksa persekitaran hidup insan tersayang dan memeriksa apa sahaja yang boleh menimbulkan bahaya kepada mereka. Kemudian anda akan dapat membuat perubahan yang diperlukan untuk mencegah kemalangan.

PANDUAN TINGKATKAN KESELESAAN IBU BAPA

Berikut beberapa cadangan yang boleh dilakukan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan ibu bapa di rumah:

1. Meningkatkan pencahayaan

Pastikan semua kawasan di dalam rumah diterangi dengan betul. Memasang lampu tambahan di atas tangga, di koridor, dan di mana laluan yang sering digunakan

- Letakkan lampu di sebelah katil yang tersayang.

Pasang lampu malam untuk memastikan perjalanan ke bilik mandi lebih mudah dalam keadaan gelap.

2. Periksa lantai dan perabot

Ubah barangan perabot untuk memudahkannya dicapai.

Susun perabot supaya terdapat banyak ruang untuk berjalan dengan selesa.

Periksa lantai di setiap bilik, dan lihat bagaimana keadaannya sama ada licin atau tidak. Pastikan karpet dan permaidani rata, tanpa sudut atau tepi yang boleh tersandung. Sekiranya perlu:

* Pasang pita antigelincir pada permaidani, dan buang permaidani yang tidak rata dan kasar;

* Tambah tikar antigelincir di mana saja lantai yang sering basah (misalnya bilik mandi dan dapur);

* Tambah baik keselamatan di tangga.

Pastikan semua perabot adalah stabil dan apa-apa barangan yang tidak stabil dibaiki atau diganti.

Pasang pelindung pada sudut tajam meja kaca atau kaunter dapur.

SUSUNAN perabot di rumah penting untuk keselamatan dan keselesaan ibu bapa tua.
SUSUNAN perabot di rumah penting untuk keselamatan dan keselesaan ibu bapa tua.

3. Jadikan dapur anda lebih selamat

Jangan sesekali mengambil mudah risiko kebakaran di rumah - pasang pengesan asap dan kebakaran (dan periksa bateri di dalamnya secara berkala).

Pertimbangkan untuk memasang dapur dan ketuhar yang terpadam sendiri secara automatik.

Apabila menggantikan peralatan lain, pilih yang mempunyai fungsi suis padam automatik.

Periksa susunan dapur. Untuk kemudahan dan keselamatan, simpan pinggan mangkuk, barangan kaca dan barangan lain yang sering digunakan dalam laci atau almari yang mudah dijangkau.

4. Mencegah kemalangan di bilik mandi dan tandas

Tambah bar sokongan di mana-mana bahagian yang dirasakan perlu contohnya di bilik mandi atau di sebelah tandas.

Tempatkan tikar antigelincir di sekitar bilik mandi dan sinki. Pasang kerusi pancuran khas jika anda fikir ia akan membantu.

Pertimbangkan untuk memasang kerusi tandas boleh laras - ia membantu warga tua bangun dan turun dengan mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 5:40 AM