POTONGAN unik, ringkas ke pejabat untuk penggemar gaya anggun, sofistikated. FOTO: Nurul Syazana Roze Razman
POTONGAN unik, ringkas ke pejabat untuk penggemar gaya anggun, sofistikated. FOTO: Nurul Syazana Roze Razman
Intan Mas Ayu Shahimi


RINGKAS, mewah dan bergaya. Ketiga-tiga ciri ini dilihat melengkapi koleksi kasual pejabat yang dihimpunkan pemilik jenama Nur Design Exclusive, Rosnawati Salleh. Sepadan fungsinya menyerlahkan personaliti wanita yang sukakan padanan kasual ke pejabat, setiap helaian dalam koleksi ini cukup manis dan selesa untuk digayakan sepanjang hari.

Lari jauh daripada gaya formal kot, blazer mahupun kemeja polos, Rosnawati menampilkan pilihan blaus potongan longgar, bercorak mewah yang sesuai dipadankan dengan palazo, skirt labuh ataupun jenis mini.

“Ini adalah koleksi pejabat pertama yang kami bawakan untuk mereka yang sukakan gaya anggun sofistikated. Setiap helaiannya dihasilkan dengan potongan unik dan ringkas.

“Saya sengaja memilih tema reben sebagai aksesori untuk keseluruhan koleksi kali ini. Ia boleh dililit di pinggang, membentuk simpulan, diikat pada leher atau dijadikan aksesori kepala.

FABRIK sutera satin menggabungkan rona terang dan lembut digunakan untuk menyerlahkan sisi mewah.
FABRIK sutera satin menggabungkan rona terang dan lembut digunakan untuk menyerlahkan sisi mewah.

“Selain reben, himpunan ini juga menawarkan pilihan corak menarik yang diinspirasikan daripada pelbagai jenama mewah antarabangsa,” katanya.

Jelas Rosnawati, fabrik sutera satin menggabungkan rona terang dan lembut digunakan untuk menyerlahkan sisi mewah selain menonjolkan ciri kewanitaan pemakai.

“Kita juga ada gunakan fabrik jenis broked untuk menghasilkan blazer potongan kasual. mewah. Biarpun tekstur kainnya berbeza, namun koleksi ini tetap membawakan tema reben,” katanya.

Meneliti satu persatu hasil rekaan wanita ini, ternyata Rosnawati tidak lupa memperincikan bahagian leher bersesuaian buat wanita yang gemar mengenakan turban untuk menutup rambut.

“Saya tahu ada ramai wanita yang mencari blaus yang menutup dada sepenuhnya. Jadi, mereka tidak perlu menyarung baju berleher tinggi di bahagian dalam.

“Sebab itu kita sediakan blaus potongan leher tinggi untuk mereka. Selain leher, bahagian lengannya juga kita buat cekak saiz lebar untuk keselesaan mereka bergaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 5:30 AM