GUBAHAN bunga meja yang siap digubah.
GUBAHAN bunga meja yang siap digubah.
Siti Nadirah Hafidzin


SEBUAH rumah tanpa hiasan bunga ibarat kosong dan kurang berseri.

Walaupun semakin menghampiri 2020, kedatangan Aidilfitri tetap kurang serinya tanpa hiasan bunga meja sebagai pelengkap setiap kediaman.

Bukan saja menyedapkan mata si ‘tuan rumah’ juga seisi keluarga yang memandang saban hari malah hiasan bunga meja mampu menceriakan suasana dan emosi selain menarik perhatian tetamu yang datang berkunjung.

Kehadiran hiasan bunga secara tidak langsung melunakkan naluri kasih sayang dan kegembiraan mudah ditonjolkan sekali gus menceriakan suasana hari lebaran.

Lebih menarik, selain boleh diletakkan sebagai pelengkap dekorasi rumah, gubahan bunga meja bersaiz mini juga sesuai dijadikan hadiah untuk diberikan kepada ahli keluarga atau kenalan yang datang berkunjung.

Berkongsi idea dalam menghasilkan gubahan bunga meja, suri rumah, Norizan Mat Hussin berkata, setiap wanita mampu menyediakan gubahan bunga sendiri mengikut idea, rona serta konsep disukai.

Menurutnya, perkara paling penting adalah asalkan gubahan itu cantik dan mewujudkan suasana ceria.

“Tidak perlu memerah otak menghasilkan gubahan yang terlalu rumit asalkan ia menepati cita rasa anda. Selain itu, penggunaan rona ceria mampu menghasilkan gubahan yang memukau.

“Pilih bunga yang mempunyai warna ceria kerana ia mampu menghidupkan suasana kediaman selain menonjolkan impak ‘riang gembira’ pada hari raya,” katanya.

Katanya, bahan diperlukan juga tidaklah terlalu sukar dicari selain kos gubahan yang sangat rendah sekiranya dihasilkan sendiri.

“Jika kos keseluruhan gubahan anda adalah RM60, jangan terkejut gubahan yang menggunakan bunga dan bahan yang sama dijual pada harga RM150 dan ke atas sekiranya dibeli di kedai.

“Jika langsung tidak tahu menggubah, boleh layari laman YouTube dan ikuti langkah demi langkah yang ditunjukkan,” ujarnya.

Norizan berkongsi langkah demi langkah menghasilkan gubahan bunga meja bagi menceriakan kediaman di Aidilfitri.

1. BAHAN diperlukan adalah tiga jenis bunga yang berlainan rona, pemotong dawai, span, pisau dan pasu.

2. PISAHKAN bunga dan jadikannya sekuntum.

3. POTONG span mengikut saiz pasu.

4. CUCUK bunga yang mempunyai saiz paling panjang di bahagian tengah untuk dijadikan ibu bunga.

5. BUNGA meja selesai digubah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 5:00 AM