SAKIT rengat dirasai sejurus selepas bersalin.
SAKIT rengat dirasai sejurus selepas bersalin.
Siti Zarinah Sahib

PENGALAMAN melahirkan cahaya mata kedua, Muhammad Harraz Zakwan (Harraz) 11 tahun lalu sememangnya masih segar dalam ingatan. Walaupun tidak pasti apakah yang dikatakan sakit rengat, selepas melahirkan Harraz, Sarwani Padzil, 36, mula mengalami kesakitan sama seperti kontraksi ketika mahu bersalin.

“Kesakitan ini tidak dirasai ketika bersalin anak pertama jadi saya tiada pengalaman.

Namun arwah ibu mentua ada memberitahu mengenai rengat atau

orang tua-tua dulu memanggilnya sebagai sakit batu merian.

“Apabila melaluinya sendiri barulah saya tahu bagaimana seksanya. Sukar diceritakan sakitnya. Hanya mereka yang mengalaminya tahu bagaimana rasanya. Ada yang berkata seperti senggugut tetapi ia lebih sakit. Seakan-akan mahu bersalin semula,” katanya menceritakan pengalaman mengenai rengat yang dialami ketika bersalin anak kedua dan ketiga

pada 2008 dan 2010.

Menurut Sarwani, rengat dirasai sejurus selepas melahirkan anak. Ketika itu dia masih di hospital dan doktor terpaksa memberikan ubat penahan sakit bagi mengurangkan kesakitan.

Namun ia hanya bertahan selama empat jam dan selepas itu rasa kontraksi yang teruk di bahagian rahim datang semula. Darah nifas juga keluar lebih banyak dan berketul-betul.

“Oleh kerana sakit yang tidak tertanggung saya tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya mengetap bibir apabila rengat datang. Saya turut meminta ubat tambahan namun tidak dibenarkan kerana dikhuatiri dos diterima berlebihan dan ia berbahaya,” katanya yang bersalin anak pertama dan kedua secara normal manakala anak ketiga menerusi pembedahan.

Untuk anak ketiga kesakitan rengat semakin berganda disebabkan bersalin secara pembedahan dan dia perlu menahan sakit sebaik saja ubat bius habis. Bayangkan dengan sakit luka pembedahan ditambah rengat pula. Namun Allah meringankan sedikit bebanan apabila dia tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan, bayi juga sihat membuatkan doktor membenarkan pulang lebih awal.

“Saya berada di hospital selama tiga hari dan doktor memberikan dua jenis ubat penahan sakit berbentuk tablet dan suntikan. Walaupun masih merasai sakitnya, suntikan itu dapat mengurangkan seketika sebelum rengat datang semula. Mungkin sesetengah wanita mengalami kesakitan seperti senggugut tetapi pada saya ia lebih sakit dan sangat menyeksakan,” ujarnya yang terpaksa menyambung pengambilan ubat tahan sakit ketika di rumah bagi mengurangkan tekanan.

Menurut Sarwani, dia pernah mendengar orang tua-tua berkata mengenai rengat. Sekiranya anak pertama sakit rengat hanya sekejap, anak kedua akan dirasai selama dua hari manakala anak ketiga selama tiga hari. Semakin ramai anak tempoh rengat itu berlaku lebih lama dan kesakitan lebih kuat.

SARWANI bersama tiga anaknya.
SARWANI bersama tiga anaknya.

“Namun ini hanya pandangan orang tua-tua dan tidak dapat dipastikan kesahihannya. Cuma saya terfikir bagaimana orang dulu yang mempunyai anak ramai sehingga belasan orang menahan sakit rengat. Sedangkan saya yang merasai rengat selama lebih tiga hari sudah begitu tertekan,” katanya yang bersyukur kerana kesakitan berkenaan hilang selepas seminggu berpantang.

Katanya, berdasarkan pendapat orang terdahulu rengat terjadi disebabkan proses pengecutan rahim ibu selepas bersalin. Ada bidan mengatakan ia disebabkan darah tidak habis keluar ketika bersalin. Sebab itu berlaku sakit rengat dan ia adalah proses untuk rahim mengecut dan mengeluarkan semua darah kotor.

Dia yang berpantang di kampung dan dijaga ibu mengakui mengikut amalan berpantang yang betul. Antaranya mengelak daripada mengambil makanan sejuk dan berangin serta bertungku setiap hari bagi mempercepatkan pengecutan rahim.

“Sejak anak pertama Muhammad Zakwan Hakimi saya ikut amalan berpantang sepenuhnya supaya tidak demam atau sakit-sakit badan. Makanan saya berasaskan bawang putih dan halia serta dimasak tanpa minyak. Oleh kerana saya menyusukan anak, saya ambil air suam sehingga dua liter sehari.

“Walaupun mengikut amalan nenek moyang minum air banyak boleh menyebabkan kembang urat tetapi jika dilihat dari sudut perubatan penghasilan susu badan memerlukan air yang banyak,” katanya.

Ditanya adakah serik untuk mengandung lagi disebabkan rengat, sambil tersenyum Sarwani memberitahu wanita sememangnya sanggup berhadapan apa saja cabaran antaranya menempuh kesakitan yang panjang ketika bersalin dan selepas bersalin.

“Serik untuk mengandung lagi sememangnya tiada dalam kamus kehidupan wanita,” katanya yang bersalin di Hospital Putrajaya.

Pengecutan rahim

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Sakit Puan Sunway Medical Centre Dr Sharmina Kamal Shamsul Kamal, kesakitan dialami wanita seperti kontraksi atau rengat adalah disebabkan proses pengecutan rahim untuk kembali ke bentuk asal.

“Sejurus selepas bersalin rahim perlu mengecut untuk mengelak daripada pendarahan yang terlalu banyak atau berterusan. Ini adalah proses normal yang dialami setiap wanita.

“Pada hari-hari seterusnya, rahim mengalami proses pengecutan untuk kembali ke bentuk asal. Secara amnya, dalam tempoh 10 hingga 14 hari, rahim sudah tidak boleh dirasai di kawasan abdomen,” katanya.

Tahap kesakitan rengat berbeza pada setiap wanita dan daya ketahanan terhadap kesakitan juga berbeza. Ada wanita yang berasakan ia amat menyakitkan dan ada pula yang boleh menahannya. Ada kalanya, sakit rengat akan juga bertambah ketika menyusukan bayi dan ini adalah normal kerana hormon oksitosin yang menggalakkan pengeluaran susu juga menggalakkan kontraksi.

“Oleh itu dinasihatkan wanita meneruskan penyusuan badan walaupun mereka terpaksa menahan kesakitan kerana semakin kerap bayi menyusu, lebih cepat rahim mengecut,” katanya.

Menurut Dr Sharmina, bagi wanita yang merasai kesakitan yang kuat, terlampau sakit atau terdapat banyak pendarahan, mereka perlu segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan kerana mungkin berlaku jangkitan kuman atau komplikasi yang lain. Ia mungkin juga bukan rengat dan boleh mengancam nyawa,” katanya.

Katanya, kebiasaannya darah nifas akan keluar dalam tempoh rengat ini. Jika pendarahan terlalu banyak, wanita perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan pemantauan lanjut. Ini sangat penting kerana pendarahan selepas bersalin tidak boleh dibiarkan kerana ia merbahaya. Apatah lagi bagi mereka yang melalui tempoh sakit rengat yang lama.

RENGAT adalah proses pengecutan rahim.
RENGAT adalah proses pengecutan rahim.

“Setiap wanita melalui tempoh kesakitan rengat yang berbeza, biasanya antara dua hingga 10 hari. Ada juga yang langsung tidak merasai rengat untuk semua kelahiran bayi,” katanya.

Dr Sharmina turut menasihati kaum bapa supaya prihatin dan mengambil tahu mengenai kesakitan yang ditanggung isteri serta membuat persediaan bagi membantu isteri agar tidak menderita kesakitan seorang diri. Wanita selepas bersalin sangat memerlukan sokongan moral dan fizikal daripada suami,” katanya.

Apa yang boleh dilakukan ketika rengat:

1. Bertungku

Bertungku boleh dilakukan menggunakan tungku khas atau tungku moden yang banyak dijual di pasaran. Tungku bahagian rahim lebih kerap, pada paha dan kaki bagi mengelak kejang urat.

2. Berurut

Urutan lepas bersalin sangat penting untuk melegakan urat-urat

yang menegang semasa proses melahirkan anak.

Ia juga dapat mengu­rangkan kesakitan rengat. Pastikan anda berbengkung untuk mengecutkan peranakan.

3. Sapu minyak panas pada perut dan kaki

Sebaik saja bersalin, sapu minyak panas pada perut dan kemudian pakai bengkung. Sapukan juga pada kaki dan pakai stokin. Ini mengelak kaki dimasuki angin.

4. Banyakkan berbaring

Bagi yang merasai rengat ketika menyusukan anak, usahakan untuk berbaring agar kesakitan dapat dikurangkan. Apabila sakit sudah berkurang boleh cuba menyusukan anak sambil duduk.

5. Makan ubat penahan sakit

Walaupun tidak disyorkan mengambil ubat penahan sakit, tetapi ia boleh dilakukan jika anda mengalami kesakitan yang teruk. Ambil ubat tahan sakit atas nasihat doktor

agar anda tidak berasa tertekan. Tekanan tidak elok untuk kesihatan ibu dan bayi. Ini akan menyebabkan ibu sering menangis dan tidak dapat melayan bayi mereka. Dikhuatiri akan menyebabkan meroyan.

Perkara yang boleh dilakukan suami ketika isteri berpantang:

Ketika berpantang, isteri sangat memerlukan bantuan dan sokongan suami. Oleh itu suami diminta memberikan perhatian dan sokongan dengan menyediakan keperluan isteri ketika dalam pantang. Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian antaranya:

1. Perhatian kepada isteri

sSuami perlu memberikan perhatian kepada isteri dengan memberikan belaian dan kata-kata semangat kepadanya. Secara tidak langsung, ia dapat meredakan tekanan dan kesakitan mereka.

2. Elak memberikan tekanan

Elak memberikan tekanan kepada isteri pada saat fizikalnya masih lemah. Buat kerja rumah seperti mengemas rumah, membasuh dan menyidai baju. Pada mulanya mungkin anda tidak biasa tetapi tidak salah untuk belajar.

3. Sediakan makanan dalam pantang

Ringankan tulang untuk memasak makanan ketika isteri berpantang. Sekiranya tidak tahu, bertanya kepada isteri atau membuat carian di Internet. Sediakan makanan berkhasiat, mudah dan senang dipelajari.

4. Uruskan bayi

Mungkin anda boleh meluangkan masa selepas pulang dari kerja untuk melayan bayi. Dukung dan atau tidurkan bayi anda pada masa sama, isteri anda boleh berehat seketika.

5. Jangan kejut isteri ketika tidur

Isteri anda memerlukan rehat secukupnya. Sekiranya anda perlu bertanyakan sesuatu, tunggu sehingga dia bangun atau selepas dia berehat sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 12:17 PM