JUS epal asam boi mampu membantu memberikan khasiat pada badan.
JUS epal asam boi mampu membantu memberikan khasiat pada badan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

PENGAMBILAN buah-buahan misalnya amat bermanfaat untuk kesihatan kerana setiap satu mengandungi khasiat tertentu untuk tubuh.

Epal hijau misalnya, mengandungi kandungan kalori yang rendah, tetapi kaya serat yang boleh memberikan rasa kenyang lebih lama dan tinggi vitamin C.

Sebab itu tidak hairanlah jika ada yang mengatakan pengambilan segelas jus epal setiap hari boleh bantu untuk kesihatan jantung. Epal mengandungi banyak fitonutrien yang mampu memecahkan kolesterol jahat dalam tubuh.

Jika pengambilan jus epal semata-mata mungkin sesetengah dari kita agak sukar menelannya, apa kata cuba campurkan dengan bahan lain bagi menyedapkan rasanya.

Mudah, pantas, ringkas dan lazat, itu antara kelainan yang cuba diketengahkan restoran ini dalam menyediakan minuman ringkas berkhasiat ini. Masa penyediaannya juga cepat iaitu kira-kira 10 minit saja menerusi bahan yang mudah diperoleh.

Gabungan buah-buahan segar dan herba mampu memberikan khasiat pada badan serta memudahkan individu mencernakannya.

Kedua-dua bahan itu turut mempunyai banyak kelebihan kepada sistem penghadaman kerana ia membantu menjaga kesihatan sistem berkenaan.

Ia juga antara cara yang boleh digunakan bagi memastikan kanak-kanak mengambil bekalan serat mencukupi memandangkan mungkin ada yang tidak gemar mengambil buah atau sayur sebagai sebahagian daripada diet harian.

Oleh itu, ibu bapa boleh mengalih perhatian mereka dengan mencampurkan pelbagai buah-buahan menarik bersama sayuran terbabit bagi membolehkan anak menikmatinya dengan cara tersendiri.

Ikuti langkah mudah menyediakan minuman epal asam boi istimewa daripada Restoran Saggaf Corner.

Bahannya:

- 200 mililiter air panas

- 6 sudu besar serbuk asam boi

- 5 tangkai daun pudina

- 2 biji epal hijau

- 2 sudu besar susu pekat

- 200 gram ais kiub

ANTARA bahan-bahan membuat jus epal asam boi.
ANTARA bahan-bahan membuat jus epal asam boi.

Cara penyediaan:

1.Bancuh serbuk asam boi dengan air panas hingga larut.

2.Potong epal pada empat bahagian dan masukkan dalam pengisar.

3.Campurkan bancuhan serbuk asam boi, daun pudina dan susu pekat.

4.Kisar semua bahan hingga hancur tuangkan ke dalam gelas.

5.Masukkan ais kiub dan hias dengan daun pudina dan asam boi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 4:30 AM