IBU bapa boleh mengasah EQ anak bagi melahirkan modal insan cemerlang. GAMBAR hiasan
IBU bapa boleh mengasah EQ anak bagi melahirkan modal insan cemerlang. GAMBAR hiasan
Yusliza Yakimir Abd Talib

WALAUPUN kecemerlangan akademik sering menjadi keutamaan dalam peringkat tumbesaran kanak-kanak, hakikatnya kecerdasan intelektual (IQ) saja tidak memadai untuk berjaya.

Ramai ibu bapa semakin menyedari masa depan sukar diramal dan mereka turut memberi penekanan terhadap kecerdasan emosi (EQ) anak yang tidak kurang pentingnya.

IQ merujuk kepada piawaian ataupun ukuran kepada kepintaran seseorang termasuk dalam menyelesaikan masalah, menganalisis, membuat pertimbangan dan membuat keputusan berdasarkan logik serta kemahiran kognitif mereka.

PAKAR Keibubapaan, Taufiq Mohd Razif. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman
PAKAR Keibubapaan, Taufiq Mohd Razif. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman

Aspek EQ seperti keupayaan menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan, kebolehan untuk empati, kemahiran bersosial dan berkomunikasi dengan baik adalah sama penting dengan penguasaan mata pelajaran yang diajar di sekolah.

Ia meliputi kemahiran mengenali emosi dan diri mereka sendiri, mengenali emosi orang lain, mengurus emosi sendiri, memotivasi diri sendiri dan mengurus interaksi dengan orang lain.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ProParenting, Taufiq Mohd Razif, EQ memainkan peranan dalam membentuk peribadi anak, malah anak yang diasah dan diasuh EQnya akan mempunyai kemahiran mengawal perasaan serta impuls dalamannya sendiri.

Katanya, mereka juga dilihat sebagai anak yang mempunyai budi pekerti tinggi dan senang didekati. Mereka juga biasanya dianggap sebagai anak yang sangat bertimbang rasa dan sangat memahami.

Justeru, katanya, ibu bapa boleh mengasah EQ anak mereka dengan mengajar anak mereka nama emosi, ajarkan cara yang betul untuk meluahkan rasa marah dan sedih dan juga mengajar anak sifat empati dengan menyantuni dan membantu mereka yang dalam kesusahan.

“Paling penting ibu bapa sendiri mestilah melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan melalui pembacaan buku, mengikuti seminar dan kursus keibubapaan.

“Ini bagi memastikan potensi dan keupayaan anak dapat digilap, melatih mereka dengan sikap yang murni dari rumah, sekali gus menjadikan mereka insan yang bukan saja cemerlang akademik malah sahsiah dan peribadi,” katanya.

Menurutnya, anak yang memiliki EQ tinggi juga mampu mengenali dirinya sendiri dengan lebih mendalam. Contohnya, anak yang diajarkan tentang nama emosi seperti emosi sedih, emosi marah dan emosi takut akan mampu meluahkan perasaan mereka dengan lebih efektif berbanding anak yang tidak mengetahui nama emosi mereka.

Anak itu juga katanya, mungkin akan cenderung menjerit, memukul dan menangis untuk meluahkan perasaan mereka.

EQ tinggi mampu mengenali emosi dirasakan orang sekeliling. GAMBAR hiasan
EQ tinggi mampu mengenali emosi dirasakan orang sekeliling. GAMBAR hiasan

Katanya, anak yang memiliki EQ tinggi juga mampu mengenali emosi dirasakan orang di sekeliling mereka, sekali gus menjadikan mereka lebih bertimbang rasa dan lebih sensitif terhadap perasaan orang lain.

Sifat inilah katanya yang sangat kurang pada anak zaman sekarang sehingga mereka menjadi biadab dan kurang sensitif terhadap perasaan orang lain.

“Anak yang tinggi IQ mungkin cemerlang di sekolah dan skor di dalam setiap peperiksaan, tetapi anak yang tinggi EQ insya-Allah akan berjaya dalam kehidupan.

“Ia seperti kajian daripada Pakar Psikologi terkenal, Dr Travis Bradberry yang turut terkenal dengan buku Emotional Intelligence 2.0 yang menyatakan bahawa 90 peratus Top Performers mempunyai EQ yang tinggi dan mereka yang mempunyai EQ yang tinggi berpendapatan 29,000 dolar setahun lebih tinggi daripada mereka yang cuma tinggi IQ semata-mata.

“Jadi, ibu bapa sangat digalakkan untuk mendalami ilmu untuk mendidik dan mengasah EQ anak bagi melahirkan modal insan yang cemerlang dan berjaya dalam kehidupan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 5:30 AM