BANTU anak luahkan perasaan mereka. - FOTO Google
BANTU anak luahkan perasaan mereka. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


Merajuk dalam kalangan kanak-kanak ialah rasa marah atau disebut sebagai 'silent temper tantrum' dalam tingkah laku anak.

Anak-anak yang merajuk sering murung. Malah meluahkan perasaan mereka dengan merajuk atau merengek. Kadangkala ia boleh menjadi keperibadian utama dan memberi gangguan perasaan kepada kanak-kanak.

Salah satu perkara paling sukar yang akan dialami oleh ibu bapa adalah ketika anak mereka belajar bagaimana menunjukkan tindak balas negatif dengan cara merajuk.

Penyelaras Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pengurusan, Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Mohd Shawani Ahmad Sabri berkata, merajuk adalah cara untuk kanak-kanak meluahkan rasa marah atau ketidakpuasan hati mereka.

Katanya, anak yang merajuk akan diam, enggan bercakap, makan atau terbabit dalam aktiviti yang anda mahu mereka lakukan.

"Merengek, merayu, menjerit dan merajuk adalah perkara yang paling membuatkan ibu bapa atau orang dewasa biasanya hilang sabar dan sukar untuk memahami keperluan kanak-kanak pada ketika itu.

"Kebiasaannya ia berlaku secara tiba-tiba atau selepas kanak-kanak merasakan ada sesuatu hasrat mereka yang tidak dipenuhi," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mohd Shawani berkata, terdapat dalam kalangan kanak-kanak merajuk berikutan belum mempunyai perbendaharaan kata yang mencukupi untuk meluahkan kekecewaan atau menyatakan rasa tidak senang yang dirasakan.

"Kadangkala biarpun anak itu mempunyai perbendaharaan kata untuk meluahkan perasaannya, tetapi dia takut untuk melakukannya kerana kesan yang mungkin dia hadapi daripada ibu bapa atau penjaga yang tegas.

"Terdapat juga kanak-kanak atau remaja yang kekurangan kecerdasan emosi yang diperlukan untuk meluahkan perasaan negatif mereka dengan cara yang baik. Kadangkala mereka tidak mengenali perasaan dan emosi mereka sendiri sehingga merajuk tanpa alasan yang jelas," katanya.

FAHAMI dan raikan emosi anak. - FOTO Google
FAHAMI dan raikan emosi anak. - FOTO Google

Selain itu, kanak-kanak merajuk untuk menarik perhatian biarpun perlu membuatkan ibu bapa marah.

"Mereka tidak peduli asalkan ibu bapa atau orang dewasa memberi reaksi terhadap tingkah laku mereka.

"Kanak-kanak merajuk kerana ingin memanipulasi ibu bapa. Sekiranya ibu bapa tidak mempedulikan tingkah laku itu, anak akan menyedari bahawa merajuk tidak baik," katanya.

Sebenarnya, kanak-kanak perlu diberi pendedahan awal bahawa merajuk bukanlah cara positif untuk memberitahu orang bahawa ada sesuatu yang tidak betul dan sama sekali tidak menyelesaikan masalah.

Jelasnya, dalam keadaan biasa, semasa kanak-kanak sedang merajuk, adalah lebih baik memberikan ruang ketika mereka merajuk.

"Secara amnya, semakin banyak perhatian yang anda berikan kepada tingkah laku merajuk, ia semakin mendorong mereka untuk merajuk. Memberi perhatian pada masa ini sebenarnya seperti membuka peluang kepadanya," katanya.

Beliau berkata, tidak benar sama sekali tanggapan bahawa merajuk itu sebagai satu gambaran anak itu tidak kuat atau lembik.

"Seorang kanak-kanak harus diajar bagaimana mengekspresikan pandangan dengan mengemukakan pandangannya dan tidak membiarkan mereka berasa kesal dengan sesuatu.

"Kanak-kanak juga perlu diraikan hak mereka untuk mengekspresikan emosi mereka," katanya.

Menurutnya, ibu bapa dan orang dewasa, perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meraikan emosi anak-anak.

BERI pendedahan awal bahawa merajuk bukanlah cara positif. - FOTO Google
BERI pendedahan awal bahawa merajuk bukanlah cara positif. - FOTO Google

"Menjerit atau menuduh kanak-kanak adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku kerana kanak-kanak mungkin melakukan perkara yang sama kelak.

"Anak-anak merajuk kerana mereka tidak dapat meluahkan perasaan atau emosi mereka sepenuhnya. Cuba bantu mereka meluahkan perasaan itu.

"Sebagai contoh, ibu bapa atau orang dewasa melihat kanak-kanak mula merajuk, anda boleh katakan pada mereka, 'saya perhatikan ada sesuatu yang membuatkan awak merasa tidak selesa, mahu kongsikan atau katakan pada saya sesuatu?'

Tambahnya, jadikan persekitaran kanak-kanak seperti rumah sebagai tempat untuk mengekspresikan emosi mereka secara bebas.

"Bagi sesetengah ibu bapa, menangani tingkah laku anak yang sedang merajuk mungkin sukar.

"Namun, asasnya adalah dengan memahami emosi anak itu dan meraikan dengan memberi mereka sedikit ruang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 7:00 AM