KAMARIAH Hashim, 62, menanam pelbagai jenis tanaman di rumahnya di Jengka 16, Pahang.
KAMARIAH Hashim, 62, menanam pelbagai jenis tanaman di rumahnya di Jengka 16, Pahang.
Siti Nadirah Hafidzin

SATU ketenangan yang sukar digambarkan tatkala melihat satu persatu tanaman hidup subur, lebih menggembirakan apabila tiba sesi menuai hasil.

Semua tekanan, masalah dan kesedihan diri umpama hilang sekelip mata apabila melakukan aktiviti digemari lebih-lebih lagi apabila memasuki usia emas.

Ketika usia melebihi 55 tahun, rata-rata wanita bersetuju ia tempoh paling bermakna untuk menghargai diri sendiri dan kehidupan.

Selain beribadah dan mendalami ilmu agama, ramai wanita memilih berbakti kepada tanah kerana ia antara aktiviti sihat yang boleh dilakukan mengikut masa dan kemampuan diri sendiri tanpa ada paksaan.

Berkongsi minat dalam aktiviti bercucuk tanam, Kamariah Hashim, 62, mengakui aktiviti itu bukan saja sekadar hobi malah ia sekali gus mendekatkan dirinya kepada Pencipta Yang Maha Esa, Allah SWT.

NABIHAH berpuas hati dengan pokok mangga yang ditanamnya.
NABIHAH berpuas hati dengan pokok mangga yang ditanamnya.

“Setiap kali bangun daripada tidur dan selesai menguruskan sedikit tugasan di rumah, saya akan keluar mengelilingi kawasan rumah sambil berselawat memuji kebesaran Allah SWT dan melihat satu persatu tanaman hidup subur.

“Ketenangan yang dirasai tiada tandingan, rutin harian itu menjadikan saya lebih menghargai kehidupan dan nikmat kesihatan ini,” katanya.

Kamariah yang tinggal di Jengka 16, Pahang berkata, selesai meneliti satu persatu tanaman, dia mula menyiram dan menabur baja pada satu persatu tanaman.

“Bukan setakat menyiram dan membaja, saya akan belai setiap tanaman di samping melihat sekiranya terdapat serangga perosak kerana ia antara terapi kepada diri saya juga kepada tanaman itu sendiri.

HASIL tanaman yang boleh dimakan tanpa perlu berasa bimbang.
HASIL tanaman yang boleh dimakan tanpa perlu berasa bimbang.

“Aktiviti ini sangat menggembirakan diri apatah lagi apabila melihat tanaman mula membuahkan hasil, selain itu, ia juga terbukti membantu mengeluarkan peluh dan baik untuk kesihatan diri,” ujarnya.

Menurut Kamariah, antara yang ditanamnya di sekitar rumahnya di Jengka 16, Pahang adalah tomato, serai, halia, pandan, kunyit dan beberapa jenis pokok buah-buahan iaitu betik dan rambutan.

“Perkara paling menyeronokkan setiap kali melihat tanaman ini berbuah dan saya seisi keluarga bersama-sama menuai hasilnya sebelum dijadikan hidangan.

“Disebabkan ditanam sendiri, saya tidak perlu bimbangkan faktor keselamatan dan kebersihan kerana semuanya dijaga sendiri bermula daripada proses menanam sehinggalah menuai. Malah, saya juga tidak menggunakan racun serangga perosak,” katanya.

Menurutnya, dia bersama suami berusaha memanfaatkan ruang di kawasan rumah itu sebaik mungkin bagi mempelbagaikan jenis tanaman.

DIJAGA dengan baik.
DIJAGA dengan baik.

“Sebelum ini, suami banyak membantu saya bercucuk tanam namun sejak tahun lalu keadaan kesihatannya tidak mengizinkan yang menyebabkan dia perlu berhati-hati untuk bergerak.

“Anak pula sudah dewasa, seorang sudah berkeluarga dan menetap di ibu kota, Kuala Lumpur manakala seorang lagi tinggal bersama saya. Kedua-duanya rajin membantu saya bercucuk tanam sekiranya mereka ada masa terluang,” ujarnya.

Kata Kamariah, sukar digambarkan dengan kata-kata namun dia yakin hanya individu yang meminati hobi itu dapat memahami dan merasai nikmat sebenar hasil daripada bercucuk tanam.

“Selain diri sendiri, adik-beradik saya juga hampir semuanya minat bercucuk tanam. Kadangkala kami akan bertukar idea dan bercerita mengenai tanaman masing-masing apabila berjumpa.

“Aktiviti ini juga membuatkan saya perlu rajin. Rajin menanam, menjaga dengan baik sehinggalah menuai hasilnya dan paling utama, sentiasa bersyukur dengan segala nikmat di atas muka bumi ini,” katanya.

HIDUP subur.
HIDUP subur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 3:47 PM