LINDA bersama suami.
LINDA bersama suami.
Siti Nadirah Hafidzin

Berkebun dan bercucuk tanam mampu memberi ketenangan yang sukar digambarkan selain ia antara terapi minda dan mata paling berkesan.

Mungkin tidak semua individu meminati hobi itu namun tidak boleh disangkal ia antara aktiviti yang banyak memberi manfaat.

Bukan saja menggembirakan, malah ia memberikan kepuasan tidak ternilai terutama apabila tanaman yang dibelai setiap hari membuahkan hasil.

Mengakui amat meminati aktiviti bercucuk tanam yang dijadikan hobi pada waktu terluang, suri rumah, Linda Hamzah berkongsi minat yang sama dengan pasangan hidupnya, Yazid Abu Bakar.

Menurut Linda, walaupun tinggal di kawasan taman perumahan namun dia menggunakan sebaik mungkin halaman di belakang rumahnya.

“Saya dan suami pantang nampak ada tanah kosong, otak ligat berfikir jenis tanaman apa mahu disemai di situ. Saya suka melihat tanaman hidup subur dan ia menjadi terapi paling berkesan untuk saya.

“Hilang segala kepenatan apabila melihat tanaman membuahkan hasil dan hidup subur. Selain itu, kami sekeluarga juga berpeluang menikmati hasil tanaman sendiri yang segar,” katanya.

Linda berkata, antara jenis tanaman ditanamnya adalah kangkung, bayam, terung, cili, daun sup, kacang panjang dan pelbagai jenis ulam seperti kacang botol.

“Disebabkan mempunyai kawasan tanah yang agak terhad, kami banyak bercucuk tanam di dalam kotak gabus namun syukur, semua tanaman hidup subur dan membuahkan hasil yang segar. Saya percaya untuk menikmati hasil yang segar semua tumbuhan ini perlu dibelai dan dijaga rapi,” katanya.

SUBUR dan segar.
SUBUR dan segar.

Suami banyak bantu

Berkongsi minat yang sama dalam aktiviti di kebun dapurnya, Linda amat bersyukur dianugerahkan pasangan hidup yang banyak membantunya menguruskan tanaman mereka.

“Suami juga suka bercucuk tanam, selain di kawasan belakang rumah dia turut mengusahakan kawasan lapang di belakang rumah keluarganya.

“Mungkin ini adalah jiwa kami. Bagi kami, semua ini terapi terbaik dalam hidup terutama untuk menghilangkan kepenatan serta tekanan,” katanya.

Menurut Linda yang baru berpindah rumah ke kawasan berhampiran, dia dan suami turut menanam kailan, tomato, nanas, pisang, ubi dan lada benggala.

ANTARA tanaman yang ditanam Linda.
ANTARA tanaman yang ditanam Linda.

“Kami tidak menjual hasil tanaman ini, ia untuk kegunaan keluarga. Selain saya, kakak yang tinggal di Mersing, Johor juga berkongsi minat yang sama.

“Tidak salah berbakti pada tanah dan saya yakin berkat kesungguhan dan minat ini dapat memberikan satu kepuasan luar biasa,” katanya.

Tambahnya, setiap individu mempunyai minat dan hobi tersendiri namun dia yakin minatnya dalam aktiviti kebun dapur ini antara hobi yang paling bermanfaat bukan saja pada diri, malah kepada seluruh ahli keluarga dan kenalan yang bersama-sama dapat menikmati hasil tanaman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 3:54 PM