PERUT menggeleber tidak bermakna organ peranakan tidak mengecut.
PERUT menggeleber tidak bermakna organ peranakan tidak mengecut.
Yusliza Yakimir Abd Talib


ANTARA perkara yang sering menjadi persoalan buat ibu baru bersalin terutama anak pertama adalah ingin mengecutkan peranakan. Pelbagai cara dilakukan baik tradisional mahupun moden untuk kembali langsing.

Tapi sejauh manakah kebenarannya, ditambah banyak pendapat dan nasihat orang sekeliling mengikut pengalaman masing-masing terutama mereka yang kononnya lebih dulu makan garam.

Menurut Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdul­lah, tiada ubat yang khusus dan diklasifikasikan sebagai ubat pengecut peranakan perlu diambil ibu baru bersalin apatah lagi jika bayi mengalami masalah kuning.

Katanya, pengambilan sebarang ubatan yang dikatakan mampu mengecutkan peranakan dibimbangi menyebabkan paras kuning bayi akan makin tinggi.

Perkara itu katanya memang menimbulkan tanda tanya dan beliau turut hairan kenapa ibu lepas bersalin diberi informasi sedemikian.

“Peranakan wanita (uterus) adalah unik yang dijadikan Allah untuk menampung bayi semasa wanita hamil sehingga berpuluh kali ganda daripada saiz asal. Daripada saiz sebesar sebiji buah epal sebelum hamil, boleh ‘mengembang’ seperti sebiji belon yang besar.

“Sejarah perubatan mencatatkan peranakan wanita mampu menampung 15 bayi kembar dalam satu masa. Itulah kelebihan dan keajaiban yang Allah ciptakan iaitu organ yang dipanggil rahim.

“Keunikan yang mengujakan ahli perubatan lagi adalah, peranakan itu akan kembali ke saiz normal beberapa minggu selepas bersalin.

“Tiada ubat khusus pun untuk mengembalikannya ke saiz normal, sebaliknya perkara ini berlaku secara semula jadi. Hormon oksitosin yang dirembeskan selepas bersalin dan refleks daripada menyusu bayi akan membantu pengecutan peranakan,” katanya.

SENAMAN boleh mengembalikan perut ke bentuk asal selepas bersalin.
SENAMAN boleh mengembalikan perut ke bentuk asal selepas bersalin.

Dalam kes tertentu katanya, peranakan yang menggeleber atau lembik dalam jam pertama selepas bersalin boleh berlaku. Maka doktor akan memberikan suntikan oksitosin bagi mengecutkan peranakan dengan kadar segera.

Ini kerana, jika tidak berbuat demikian perdarahan mungkin akan berlaku dan tumpah darah melebihi 500cc yang boleh menyebabkan si ibu pengsan atau membawa maut.

Selain daripada itu, katanya, tiada ubat pil khas perlu diberikan kepada setiap ibu selepas bersalin. Bagaimanapun, beliau menegaskan supaya tidak menyamakan ubat tahan sakit yang kadang-kadang diberikan kepada ibu yang mengalami kesakitan selepas bersalin kerana ia bukan ubat mengecutkan peranakan.

Katanya, secara fisiologi, peranakan wanita akan mengecut sepenuh­nya dalam tempoh empat ke enam minggu selepas bersalin dan proses itu berlaku dengan sendiri tanpa apa-apa bantuan luaran.

Namun peranakan wanita sudah sukar dirasai dengan tangan dalam tempoh 14 hari selepas bersalin dan jika masih terasa ketulan peranakan, sila bertemu dengan dok­tor untuk pemeriksaan terperinci.

Katanya, penyakit seperti radang peranakan, fibroid atau tertinggal uri adalah beberapa kemungkinan yang boleh berlaku dan doktor akan melakukan pemeriksaan sama ada melalui pemeriksaan peranakan atau ultra bunyi.

“Kaedah paling selamat untuk mengembalikan bentuk peranakan wanita selepas bersalin adalah menyusui bayi secara eksklusif. Refleks hisapan susu daripada bayi akan memberi isyarat pengeluaran hormon oksitosin secara sekata.

DR Suhazeli.
DR Suhazeli.

“Hormon yang diciptakan oleh Allah ini bukan saja untuk membantu bayi menyusu tetapi turut memudahkan ibu mendapatkan kembali bentuk badan termasuk organ peranakan kepada normal.

“Perlu diingat, perut yang membuncit atau menggelebeh, bukan bermaksud peranakan juga tidak mengecut. Organ perut terdiri daripada otot abdomen yang akan mengendur jika tidak diuruskan dengan baik oleh wanita selepas bersalin.

“Beberapa senaman tertentu boleh dilakukan dengan bantuan dan nasihat ahli perubatan untuk mengembalikan organ perut ke saiz normal. Walaupun agak sukar wanita hamil untuk mengembalikan kecantikan perut selepas bersalin, tetapi usaha boleh dilakukan dengan kaedah senaman semampu mungkin. Bincanglah dengan doktor anda,” katanya.

Dr Suhazeli berkata, penggunaan bengkung atau produk kesihatan tertentu hanyalah sebagai fatamorgana, kerana ia cuma mengabui mata yang melihat perut si wanita selepas bersalin kempis dan cantik.

Katanya, perut akan tetap mengendur selagi tidak menjalankan kaedah senaman yang sudah dikenal pasti mengembalikan perut ke bentuk asal.

Justeru katanya, jika terdapat penjual produk atau individu yang mempromosi ubat untuk mengecutkan peranakan atau perut, jangan terus percaya kerana tiada sebarang ubat atau produk yang spesifik (tidak lulus kajian klinikal) boleh mengecutkan peranakan atau kempiskan perut.

Malah produk berkenaan pula dibimbangi mengganggu sistem pemulihan selepas bersalin termasuk mengganggu sistem hati, darah dan buah pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 3:49 PM