WANITA mengandung perlu pemeriksaan terperinci kerana kemungkinan tanda-tanda barah ‘terlepas pandang’.
WANITA mengandung perlu pemeriksaan terperinci kerana kemungkinan tanda-tanda barah ‘terlepas pandang’.
Nurul Husna Mahmud


KANSER yang biasa ditemui dalam kalangan wanita hamil juga sama dengan pesakit lain yang lebih muda seperti kanser payudara, kanser serviks (pangkal rahim), kanser tiroid, limfoma dan melanoma.

Bagaimanapun, kanser paling kerap ditemui dalam kalangan wanita hamil adalah kanser payudara iaitu kira-kira satu dalam 3,000 kehamilan.

Menurut Pakar Sakit Puan dan Perbidanan Gleneagles Hospital Kuala Lumpur Dr Vijayan Padmathan, wanita mengandung kurang peka dengan perubahan tubuh disebabkan tanda-tanda kanser kerana terganggu dengan gejala kehamilan.

"Wanita hamil yang mengalami gejala seperti payudara bengkak, loya dan muntah-muntah, perut kembung, sakit kepala dan sembelit disarankan untuk lakukan pemeriksaan lebih terperinci kerana kemungkinan tanda-tanda kanser boleh 'terlepas pandang' disebabkan simptom berkenaan.

"Mereka tidak terkecuali menghidapi kanser yang tipikal boleh berlaku kepada wanita muda dan lebih ketara ialah kanser payudara," katanya.

Tambah Vijayan, wanita yang hamil dalam pada masa sama menghidapi kanser, mereka ini akan dirujuk kepada pelbagai bidang kepakaran dalam membolehkan usaha meminimumkan risiko seawal saringan hingga rawatan kanser berkenaan.

IMBASAN CT pada bahagian abdomen dan pelvis berisiko buat bayi dalam kandungan.
IMBASAN CT pada bahagian abdomen dan pelvis berisiko buat bayi dalam kandungan.

"Tidak dinafikan segelintir kanser mungkin merebak ke plasenta yang menghubung dan menyalurkan makanan daripada ibu kepada bayi, namun kebanyakan kanser tidak merebak terus kepada janin.

"Namun pesakit kanser yang hamil perlu faham komplikasi rawatan kanser yang lebih berpotensi menjejaskan janin dalam kandungan.

"Risiko yang mereka hadapi termasuk keguguran, kecacatan akibat pengambilan ubat awal kandungan, kerencatan ketumbuhan, bersalin pramatang dan kematian dalam kandungan," katanya.

Menurutnya lagi, dalam merawat pesakit kanser yang hamil rawatan diberikan berdasarkan keperluan dan keadaan pesakit serta fasa kandungan mereka.

"Pembedahan dikatakan rawatan paling selamat bagi beberapa jenis kanser, manakala kemoterapi dijalankan sebelum pembedahan untuk mengecutkan saiz kanser bagi memudahkan pembedahan.

BAYI pramatang antara komplikasi sering dikaitkan dengan komplikasi rawatan barah.
BAYI pramatang antara komplikasi sering dikaitkan dengan komplikasi rawatan barah.

"Secara amnya, trimester kedua dikatakan waktu paling selamat untuk pembedahan berikutan risiko keguguran dan kelahiran pramatang adalah rendah.

"Dalam situasi ini, doktor tidak saja akan mempertimbangkan kaedah mana yang paling selamat, malah pembedahan mana yang paling wajar untuk jenis kanser dihadapi seperti mastektomi (pembuangan payudara) atau lumpektomi (pembuangan bahagian yang terkena sel kanser ) dalam kalangan pesakit kanser payudara," katanya.

Tambahnya lagi, bagi prosedur kemoterapi pula, terdapat kaedah atau fasa tertentu dalam mengurangkan komplikasi rawatan itu terhadap bayi dalam kandungan.

"Kemoterapi ketika trimester pertama perlu dielak pesakit yang hamil kerana ia tempoh penting untuk pembentukan organ dalaman bayi dalam kandungan. Namun ketika usia kandungan berada pada trimester kedua, rawatan itu dilaporkan lebih selamat.

DR Vijayan
DR Vijayan

"Sekali lagi, hanya ubat kemoterapi tertentu diguna berdasarkan rawatan lalu yang berjaya dilakukan dalam kalangan pesakit kanser hamil dan melahirkan bayi yang sihat.

"Doktor akan cuba tidak melakukan rawatan kemoterapi pada penghujung trimester ketiga supaya tidak timbul komplikasi ketika hampir waktu kelahiran," katanya.

Oleh kerana tidak banyak kajian penggunaan radioterapi dalam kalangan penghidap kanser hamil, seboleh-bolehnya doktor tidak mengesyorkan rawatan ini berikutan dos radiasi yang digunakan untuk rawatan kanser adalah lebih tinggi berbanding untuk kegunaan diagnosis.

Beliau menegaskan sekali lagi keperluan ibu mengandung untuk lebih proaktif dalam menjalani saringan kanser kerana ia membantu mendapatkan kualiti kesihatan lebih baik termasuk bagi bayi mereka.

"Jika sedar sahaja ada benjolan pada payudara atau leher, pesakit hamil terus pergi hospital dan jalani imbasan ultrasonografi yang tidak membabitkan radiasi.

"Di sesetengah hospital, pesakit turut menjalani mammogram untuk memeriksa bonjolan kerana dikatakan selamat berikutan terdapat lapisan perlindungan untuk mengurangkan radiasi terhadap janin.

"Ujian biopsi juga dikatakan selamat untuk pesakit hamil yang disyaki mendapat kanser nodul limfa atau kelenjar tiroid, manakala ujian pap smear untuk kanser serviks," katanya.

Tambahnya lagi, imbasan tomografi berkomputer (CT) bagi memeriksa abdomen atau pelvis seboleh-bolehnya cuba dielakkan ke atas pesakit hamil kerana radiasi berion yang digunakan mungkin menjejaskan janin.

Bagaimanapun, imbasan CT pada kepala dan leher boleh diteruskan dengan lapisan perlindungan dipasang pada bahagian abdomen.

Alat pemeriksaan lain yang menggunakan radiasi berion seperti tomografi pancaran positron (PET) juga perlu dielak. Pilihan terbaik ialah menggunakan pengimejan resonans bermagnet (MRI) yang dikatakan selamat.

Nasihat beliau, selain patuh dengan arahan doktor, pesakit perlu menjalani kualiti hidup sihat termasuk permakanan seimbang, rutin senaman bersesuaian serta pengambilan vitamin tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 7:00 AM