Yusliza Yakimir Abd Talib

Tanpa solekan memukau, pasti kehadiran anda ke majlis makan malam mahupun di permaidani merah tidak sempurna. Solekan yang betul bukan saja membuatkan wajah anda kelihatan menawan bahkan dengan solekan juga dapat menutup segala kekurangan yang tidak ingin dilihat.

Apatah lagi jika memilih gaun meleret pasti tidak lengkap tanpa padanan solekan yang sesuai dengan wajah dan suasana. Jangan sampai dikata orang, busana saja glamor tapi wajah tidak menarik hati.

Oleh itu, ketika menghadiri majlis makan malam ataupun karpet merah, solekan di bahagian mata sangat penting.

Solekan mata yang sempurna mampu menyerlahkan dimensi wajah menarik, sekali gus menjadikan penampilan tampak lebih anggun. Pada masa sama, teknik solekan mata yang betul juga mampu memberikan imbangan pada keseluruhan riasan wajah agar tampak sempurna.

Pilihan warna pembayang mata juga perlu betul dan sesuai untuk penampilan yang senada serta sesuai digayakan dengan pelbagai rona pakaian.

Menurut jurusolek, Joy Hussin (@joyhussin official), pilih satu atau dua rona pembayang mata sudah memadai untuk mendapatkan hasil memukau asalkan warna yang dipilih selamat untuk digayakan dengan busana yang dipakai.

Katanya, bagi menampilkan gaya lebih memukau, sapuan pengilat untuk mata agar tampak bercahaya dan menyerlah.

JOY bersama model.
JOY bersama model.

“Selepas membersihkan wajah dan meratakan produk penjagaan kulit seperti pelembap dan serum, solekan dimulakan dengan menyapu primer diikuti alas bedak pada seluruh wajah.

“Sebelum meneruskan langkah seterusnya, saya biasanya menyapu sedikit minyak argan yang dicampur bersama setitis minyak pati lavender di seluruh wajah pelanggan dengan urutan lembut.

“Selain menjadikan kulit lebih segar dan lembut, aroma lavender dapat membangkitkan wajah daripada ‘tidur’ sekali gus menjadikan kulit, lebih berseri.

“Kita juga mahu kulit nampak bersinar dari dalam, bukannya berkilat dan berminyak. Untuk kesan begini, sapukan penyerlah di atas tulang pipi, tulang alis dan bahagian tengah hidung sebelum menyapu bedak,” katanya.

Menurut Joy, selain mata, pewarna pipi juga perlu lebih menyerlah. Untuk itu, pemilihan rona merah jambu dan pic mampu memperlihatkan sisi wanita yang ayu dan menawan, apabila tersenyum warna pemerah pipi akan menampakkan tulang pipi yang sedikit menonjol.

Selain itu, penggunaan penyembur pada wajah yang sudah disolek dapat mengekalkan solekan lebih lama serta mengurangkan wajah kelihatan terlalu berbedak.

Selepas itu, gunakan pensel mata atau berus kening dan bentukkan kening mengikut kesesuaian bentuk wajah.

Kemaskan bahagian bulu mata menggunakan maskara dan bulu mata palsu untuk kesan lebih dramatik. Gunakan celak mata di bahagian dalam dan luar alis kelopak mata.

Oleskan gincu mengikut bentuk bibir menggunakan warna terang seperti merah untuk tampil lebih berkeyakinan bersesuaian dengan busana yang digayakan.

Ikuti langkah demi langkah solekan yang dihasilkan Joy bersama model, Hasha Lina Arahkhan.

1. WAJAH sebelum disolek.
1. WAJAH sebelum disolek.

2. APLIKASI pembetul warna di bahagian gelap seperti bawah mata, tepi hidung atau kemerahan, kemudian tutup dengan penyamar noda, kemudian diadun bersama.
2. APLIKASI pembetul warna di bahagian gelap seperti bawah mata, tepi hidung atau kemerahan, kemudian tutup dengan penyamar noda, kemudian diadun bersama.

3. SAPUKAN penyerlah dan lakukan teknik bayangan.
3. SAPUKAN penyerlah dan lakukan teknik bayangan.

4. RATAKAN bedak tabur untuk ‘mengunci’ solekan.
4. RATAKAN bedak tabur untuk ‘mengunci’ solekan.

5. BENTUKKAN kening dengan teknik kemasan gunakan penyamar noda.
5. BENTUKKAN kening dengan teknik kemasan gunakan penyamar noda.

6. GUNAKAN pembayang mata warna asas atau warna tanah sebelum meletakkan pengilat.
6. GUNAKAN pembayang mata warna asas atau warna tanah sebelum meletakkan pengilat.

7. SAPUKAN pemerah pipi berwarna lembut seperti merah jambu.
7. SAPUKAN pemerah pipi berwarna lembut seperti merah jambu.

8. OLESKAN bibir dengan gincu warna terang.
8. OLESKAN bibir dengan gincu warna terang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 1:42 PM