PASANGAN suami isteri saling mendorong untuk kekalkan gaya hidup sihat.
PASANGAN suami isteri saling mendorong untuk kekalkan gaya hidup sihat.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Satu per satu rakan mereka diserang penyakit kronik akibat gaya hidup kurang sihat malah ada antaranya ‘pergi’ lebih dahulu dan meninggalkan anak yang masih kecil.

Nasib yang menimpa rakan memberi tamparan hebat buat pasangan suami isteri ini apatah lagi mengenangkan nasib satu-satunya permata hati jika mereka berterusan mengamalkan gaya hidup sebegitu.

Tiga tahun lalu Zuraima Mohd Ismail, 43, dan suami, Zainul Firdaus Zainul Abidin, 44, yang dikategorikan obes dengan berat badan masing-masing 78 kilogram (kg) dan 94kg mula sedar mereka perlu lakukan perubahan selepas melihat nasib yang menimpa sebilangan rakan kerana tidak menjaga kesihatan.

Zuraima berkata, selain cepat mengah, melihat badannya yang besar cukup membuatnya tertekan malah dia tidak gembira dan sering berasa rendah diri.

“Kemuncaknya apabila beberapa kenalan saya jatuh sakit dan ada yang meninggal dunia. Kebanyakannya meninggalkan anak yang kecil. Memang ajal maut itu di ketentuan Allah, tetapi sebagai manusia, kita dituntut berusaha menjaga kesihatan sebaik-baiknya.

“Saya terkenangkan satu-satunya anak, Eyaan, yang ketika itu hanya berusia enam tahun. Saya terfikir, bagaimana kebajikannya sekiranya saya dan suami jatuh sakit?

“Pada usia semuda itu, mampukah dia menjaga kami dan adilkah meletakkan tugas yang amat berat kepadanya, hanya kerana kami enggan menjaga kesihatan diri sendiri.

“Saya lantas mengajak suami untuk bersenam bersama tapi dia awalnya tidak berminat. Saya mulakan dengan berjalan bersama jiran di kawasan perumahan, dan mencari kelas senaman seperti yoga dan zumba,” katanya.

PERNAH cecah berat badan hampir 100kg, Zainul dan Zuraima nekad menukar gaya hidup.
PERNAH cecah berat badan hampir 100kg, Zainul dan Zuraima nekad menukar gaya hidup.

Menurut Zuraima, pada masa sama seorang jiran bercerita mengenai program senaman secara berkumpulan yang disertainya.

Pada mulanya wanita ini berasa hairan kerana jirannya itu berbadan kurus dan mengapa perlu sertai senaman sebegitu, namun dia memberitahu program itu disertai untuk mengekalkan kecergasan, bertenaga dan sihat.

“Malah dia berjaya memujuk suaminya untuk sertai program itu. Saya boleh nampak perbezaan dari segi fizikal lelaki itu. Saya beritahu suami mengenai program berkenaan dan dia akhirnya terbuka hati untuk menyertai saya.

“Alhamdulillah, kami amat serasi dengan program senaman berkumpulan dan masih menyertainya sampai sekarang, walaupun selepas bergelar jurulatih kecergasan,” katanya.

ZAINUL ketika mencapai berat yang menyukarkan
ZAINUL ketika mencapai berat yang menyukarkan

Uji ketahanan mental

Sementara itu, Zainul berkata, pada awalnya dia tidak minat bersenam biarpun puas isterinya itu memujuk. Kerjayanya sebagai pemilik perniagaan fotografi dan jurugambar menuntut sebahagian besar masanya di hadapan komputer. Kesibukan kerja itulah yang menyebabkan dia amat jarang bersenam.

Akibatnya, perut mulai buncit dan Zainul mula menghadapi sedikit kesukaran untuk bergerak ketika bekerja, sedangkan sebagai jurugambar dia sepatutnya boleh bergerak aktif. Ketika itu, dia teringat pujukan isteri untuk sama-sama mengamalkan gaya hidup sihat.

“Saya dan Zuraima menyertai program pertama pada Mac 2016. Masa itu, saya hanya fikir apa salahnya mencuba, jika tidak suka, berhenti saja. Tetapi tidak sangka pula ia menarik minat kami dan alhamdulillah berterusan hingga kini.

“Paling menggembirakan apabila dalam tempoh hampir setahun berat badan saya berkurangan 20kg manakala Zuraima pula berjaya ‘menghilangkan’ 18kg dengan mengubah gaya hidup dan menjadikan senaman sebagai rutin.

“Perjalanan menurunkan berat badan kami tidaklah sepantas orang lain tapi kami cuba lakukannya secara sihat dan efektif,” katanya.

ZURAIMA pernah melalui detik rasa rendah diri dan tidak gembira melihat gambar sendiri.
ZURAIMA pernah melalui detik rasa rendah diri dan tidak gembira melihat gambar sendiri.

Dalam pada itu, Zuraima mengakui bukan senang untuk mendapatkan berat badan ideal kerana dugaannya lebih kepada ketahanan mental sama ada mereka mampu mengekalkan pemakanan sihat atau bagaimana hendak menolak makanan kurang sihat yang terhidang di depan mata.

Namun, dia bersyukur dan bernasib baik kerana suaminya sentiasa bersama dalam perjalanan yang mencabar ini. Malah baginya, usaha ke arah hidup yang lebih sihat menjadi lebih mudah apabila ini kedua-dua suami isteri memahami keadaan yang sedang dilalui selain saling mendorong dan memberi semangat antara satu sama lain.

Bagi Zainul pula, dugaan dari segi pemakanan baginya disifatkan kecil kerana Zuraima gemar memasak makanan sihat di rumah dan resipi yang direkanya juga kreatif.

LATIHAN berkumpulan lebih memberi motivasi.
LATIHAN berkumpulan lebih memberi motivasi.

Sebagai contoh, walaupun Zuraima tidak meletak garam atau gula dalam masakannya, masakannya masih lazat dan menyelerakan.

Disebabkan itu juga mereka jarang makan di luar dan dan kurang tergoda dengan makanan yang tidak sihat. Apabila perlu makan di luar mereka sudah bijak memilih masakan yang paling sihat berdasarkan pilihan yang ada.

“Alhamdulillah, belum pernah lagi ada perasaan untuk berputus asa. Untuk saya, cabaran yang paling besar adalah untuk membuang sikap malas dan perasaan negatif, terutama dari segi pemakanan dan penyediaannya.

“Manakala bagi Zainul, cabaran terbesarnya adalah untuk menimbulkan kesedaran rakan dan saudara-mara mengenai kepentingan menjaga kesihatan,” kata Zuraima.

Seronok sihat bersama

Komitmen pasangan ini tidak terhenti di situ saja sebaliknya turut gigih menjadikan kesihatan dan kecergasan sebahagian daripada hidup mereka.

Kini mereka turut menjadi jurulatih bagi program kecergasan Scouts Biggest Loser di dua kawasan, iaitu di Kota Seriemas, Nilai dan Alam Impian, Shah Alam.

Berkonsepkan latihan berkumpulan, kelebihan program itu adalah ia bermodul dan kesemua jurulatihnya memiliki sijil dan berkelayakan.

Menurut Zain, dalam rutin senaman ini, mereka cuba perkenalkan sebanyak mungkin cara senaman yang berbeza, kelebihannya pada anggota badan dan otot selain mengekalkan elemen keseronokan supaya peserta tidak jemu dengan senaman ini.

Dalam pada itu pasangan ini turut berkongsi nasihat buat mereka yang mahu menurunkan berat agar terus istiqamah dalam meneruskan perjalanan ini.

KECERGASAN menjadi rutin harian pasangan ini.
KECERGASAN menjadi rutin harian pasangan ini.

“Memulakan langkah pertama itulah yang paling sukar. Kalau sudah terdetik hati untuk berubah, teruskanlah buat sesuatu. Kalau semangat itu semakin pudar atau persekitaran yang ada menjadi negatif, carilah orang yang boleh mendorong dan menaikkan semangat anda semula.

“Tidak mustahil dan tiada istilah terlambat untuk kita mengubah cara hidup. Contohnya, tidak pernah terbayang saya boleh hidup tanpa nasi kandar bersama kuah campur banjir, maklumlah, saya orang Pulau Pinang. Kini, boleh saja saya tukar cara pemakanan. Jika saya boleh lakukannya, anda juga boleh.

“Juga tidak terlalu lambat untuk anda bertukar gaya hidup kerana kami mengubah gaya hidup pada umur 40 tahun. Dengan senaman dan cara pemakanan yang betul, sekarang kami rasa lebih sihat dan bertenaga berbanding 10 tahun dulu.

“Saya tidak pernah terfikir akan menjadi jurulatih kecergasan memandangkan mempunyai kelulusan dalam dalam bidang undang-undang namun, lihat saya kini buat pertama kalinya, saya membuat sesuatu yang menggembirakan diri sendiri,” jelas Zuraima.

ZURAIMA dan Zainul aktif menyertai program maraton dan larian.
ZURAIMA dan Zainul aktif menyertai program maraton dan larian.

Kata Zainul, paling bermakna apabila perubahan hidup mereka turut meninggalkan kesan positif pada anak mereka dan yang paling ketara, dia sudah kurang meminta makanan segera dan tidak sihat seperti ‘hot dog’ dan naget.

Tiada kejayaan tanpa dorongan dan motivasi, Zuraima dan Zainul Zain berkata, pendorong utama mereka selepas menyertai latihan berkumpulan di bawah seliaan jurulatih kecergasan, Tas Zainal.

“Kami mengikuti lapan program di bawah bimbingannya dan ketika itulah terdetik hajat untuk menjadi jurulatih sepertinya yang sentiasa memberi semangat untuk membantu kami berubah.

“Peluang untuk kami berlatih menjadi pelapis jurulatih di bawahnya iaitu Tasvengers Leaders tidak kami sia-siakan, dan di situlah perjalanan kami sebagai jurulatih kecergasan bermula dan insya-Allah tidak akan terhenti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 3:36 PM