KANAK-kanak biasa bercakap sendiri pada usia tiga hingga lima tahun.
KANAK-kanak biasa bercakap sendiri pada usia tiga hingga lima tahun.
Siti Nadirah Hafidzin

Baik si ibu mahupun si bapa, kedua-duanya tentu hairan apabila melihat gelagat anak tersayang yang sering bercakap sendiri. Senario itu lebih merunsingkan kerana sesetengah ibu bapa tidak mempunyai pengalaman sebelumnya terutama apabila ia terjadi pada anak sulung.

Pelbagai persoalan mula berlegar di minda, adakah anak tersayang mempunyai masalah? Adakah aku sebagai ibu atau bapanya tersalah dalam soal mendidik? Apa yang menyebabkan si anak berkelakuan sedemikian, selain runsing memikirkan cara mengatasi perkara itu.

Kanak-kanak yang sering bercakap dengan diri sendiri kebiasaannya berusia dalam lingkungan tiga hingga lima tahun dan hakikat yang tidak perlu dibimbangkan adalah kelakuan itu akan berhenti dengan sendirinya tanpa menyebabkan sebarang masalah.

Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Perak, Hazhari Ismail berkata, tidak dapat dinafikan, kebanyakan ibu bapa risau apabila melihat anaknya bercakap seorang sendiri.

“Self-talking atau bercakap seorang diri dalam kalangan kanak-kanak adalah sesuatu yang normal. Sama ada mereka akan bercakap dengan diri sendiri atau bercakap dengan barang-barang seperti anak patung dan barang permainan.

“Keadaan ini lazimnya wujud pada usia tertentu namun ibu bapa dinasihatkan supaya tidak panik dan terus bertindak tanpa mengetahui perkara ini dengan lebih jelas,” katanya.

HAZHARI Ismail.
HAZHARI Ismail.

Mengapa terjadi

Menurut Hazhari, bercakap sendiri selalu dikaitkan dengan perkembangan kognitif. Ia menunjukkan kanak-kanak itu berkomunikasi dengan dunia yang penuh dengan imaginasi.

“Ya, kanak-kanak itu sendiri sedang berimaginasi dengan dunianya sendiri. Dalam dunia mereka, akan ada karakter yang wujud dan kadangkala sama seperti dunia sebenar termasuk sifat, perwatakan dan percakapan namun ada masa ia berlaku sebaliknya.

“Kita akan lihat kanak-kanak itu akan menjadi diri sendiri atau menjadi seperti individu lain. Ini disebabkan mereka sedang memainkan watak atau karakter individu lain dan mereka cuba untuk meniru,” ujarnya.

Hazhari berkata, pada masa sama, kebiasaannya kanak-kanak juga akan memilih untuk bercakap dengan objek yang tidak bernyawa atau tiada tindak balas.

“Contoh terdekat adalah anak patung. Itu adalah salah satu cara untuk mereka meluahkan diri terutama perasaan dan berfikir. Ciri-ciri ini membantu mereka membiasakan diri dengan keadaan sekeliling seperti penggunaan bahasa dan tingkah laku.

“Yakinlah, apabila ibu bapa melihat anak bercakap sendiri, si kecil tersayang anda sedang melalui fasa ini dan jangan khuatir kerana ia akan hilang secara semula jadi,” katanya.

Dalam pada itu, Hazhari berkata, kanak-kanak juga akan bercakap sendiri dengan intonasi yang kuat berbanding orang dewasa.

 TERDAPAT banyak kebaikan kepada kanak-kanak yang gemar bercakap sendiri.
TERDAPAT banyak kebaikan kepada kanak-kanak yang gemar bercakap sendiri.

“Ini kerana mereka tidak sedar atau tidak perasan dengan keadaan sekeliling disebabkan terlalu asyik berimaginasi. Atas sebab itu, sekiranya keadaan itu ditegur terutama ketika mereka sedang bercakap sendiri, mereka akan tersentak dan terus berhenti untuk bercakap.

“Jika diperhati, kadangkala mereka bercakap seperti bersungguh-sungguh dan sedang berlakon. Penuh dengan eskpresi wajah, intonasi suara dan gaya. Hakikatnya, ia adalah sesuatu yang baik!,” ujarnya.

Tambahnya, bercakap sendiri adalah sesuatu yang normal pada usia tiga hingga lima tahun dan jangan bimbang kerana kelakuan ini akan hilang.

Kebaikan bercakap sendiri

Menurut Hazhari, banyak kajian sudah dijalankan berkenaan kebaikan bercakap dengan diri sendiri untuk kanak-kanak antaranya:

• Menunjukkan kebijaksanaan kanak-kanak itu. Lebih banyak kanak-kanak bercakap dengan diri sendiri, ia menunjukkan mereka akan menjadi lebih bijak pada masa akan datang.

• Kanak-kanak kecil sedang memahami konsep dunia sekeliling. Mereka akan memerhati, berkenalan dan membiasakan diri mereka sendiri.

• Mereka sedang meningkatkan keyakinan diri.

• Mengukuhkan perbendaharaan kata. Mereka menggunakan perkataan yang diketahui dan ‘memainkan’ semula ketika sesi bercakap dengan diri sendiri.

• Meningkatkan kreativiti. Ya, mereka akan jadi lebih kreatif. Mereka akan menyoal dan mereka jugalah akan menjawab persoalan itu. Jika didengari betul-betul, kadang-kadang kita sebagai ibu bapa sendiri tidak faham apa cerita mereka.

BERCAKAP sendiri baik untuk perkembangan minda kanak-kanak.
BERCAKAP sendiri baik untuk perkembangan minda kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 3:43 PM