SOLEKAN kulit kaca lebih semula jadi.
SOLEKAN kulit kaca lebih semula jadi.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Dikurniakan wajah bersinar dan sempurna tanpa cela bak kaca mungkin dimiliki sesetengah wanita bertuah namun dengan teknik solekan yang betul, impian memiliki kulit wajah seumpama itu dapat direalisasikan sesiapa saja.

Trend solekan yang dikenali sebagai ‘glass skin’ atau kulit kaca ini bukan saja menampilkan wajah menawan tanpa solekan tebal malah ia juga diminati kerana memaparkan keaslian wajah selepas disolek.

Solekan ini juga agak nipis seakan-akan tidak mengenakan solekan, tidak berlebihan dan ringan berbanding teknik lain.

Selain itu, solekan ini kurang memerlukan penggunaan berus sebaliknya banyak menggunakan teknik pedap untuk memastikan solekan betul-betul masuk ke dalam kulit.

Menurut jurusolek Noor Fazleen Mohd Fazel, trend solekan ini pada asasnya adalah mengenai kelembapan kulit dan kita perlu memastikan kulit terhidrat serta licin sehingga ia kelihatan seperti kaca.

Katanya, bagi mendapatkan solekan kulit kaca yang sempurna, kulit perlu kekal lembap dan untuk mereka yang memiliki jenis kulit kering perlu melebihkan sapuan pelembap sebelum memulakan solekan.

“Bagi yang memiliki kulit berminyak pula, penggunaan pelembap perlu dikurangkan. Sebenarnya, apa yang penting adalah kulit perlu dijaga rapi dari awal kerana lebih kurang cela pada wajah anda, lebih sempurna hasil solekan seperti ini.

“Teknik solekan ini juga paling kurang menggunakan bedak, penggunaan bedak tabur untuk di bawah mata saja. Selain itu bedak asas jenis cecair juga tidak diperlukan sebaliknya hanya menggunakan sapuan bedak asas jenis cushion,” katanya.

Menurutnya, solekan perlu dimulakan dengan pelembap diikuti primer sebagai asas solekan. Kemudian, sapukan penyamar noda untuk menutup sebarang cela di sekeliling wajah.

Pilih warna penyamar noda yang seakan sama dengan kulit. Untuk bahagian wajah yang gelap, kumis halus atas bibir dan di bawah mata, gunakan ton penyamar noda lebih cerah.

Langkah seterusnya, gunakan bedak asas jenis cushion untuk solekan ini daripada bedak asas biasa. Pemilihan ton bedak asas ini pula jangan terlalu gelap atau cerah daripada kulit, sebaiknya gunakan satu ton lebih cerah atau seakan sama dengan kulit.

Selain itu katanya, rahsia kesempurnaan solekan di bahagian mata dimulakan dengan meletakkan bedak tabur di bawah mata.

Ini kerana bahagian itu terdapat banyak garis halus, dan jika bedak tabur tidak diletakkan, tekstur sempurna di bawah mata tidak akan diperoleh.

“Namun, paling penting dalam teknik solekan ini adalah permainan ‘shading’ atau teknik bayangan membentuk dan menyerlah bahagian tulang pipi, bawah dagu, menutup dahi yang luas.

“Bezanya dalam solekan ini adalah empat lapisan bayangan iaitu lapisan pertama dengan bayangan pada bahagian berkenaan diikuti lapisan kedua menyapukan bronzer di atasnya, lapisan ketiga dan keempat menyapu semula bronzer di tempat sama.

“Untuk pembayang mata pula, hanya ton coklat, jingga dan pic digunakan. Warna lain tidak dibenarkan untuk solekan ini,” katanya.

Tambahnya, penggunaan penyerlah sebagai langkah terakhir di bahagian tulang pipi, atas batang hidung, kening, atas bibir dan dagu melengkapkan solekan ini.

1. WAJAH sebelum disolek
1. WAJAH sebelum disolek

2. SAPUAN penyamar noda untuk menutup cela
2. SAPUAN penyamar noda untuk menutup cela

3. BEDAK asas cushion diratakan ke wajah.
3. BEDAK asas cushion diratakan ke wajah.

4. BEDAK tabur diletak di bawah mata.
4. BEDAK tabur diletak di bawah mata.

5. TEKNIK bayangan dan bronzer berselang empat lapisan.
5. TEKNIK bayangan dan bronzer berselang empat lapisan.

6. PEMBAYANG mata rona coklat di kelopak mata.
6. PEMBAYANG mata rona coklat di kelopak mata.

7. SAPUKAN celak mata dan kemaskan kening dengan berus.
7. SAPUKAN celak mata dan kemaskan kening dengan berus.

8. SAPUKAN penyerlah di bahagian tulang pipi, batang hidung, kening, atas bibir dan dagu.
8. SAPUKAN penyerlah di bahagian tulang pipi, batang hidung, kening, atas bibir dan dagu.

9. GINCU rona coklat atau ‘nude’ dioles di bibir.
9. GINCU rona coklat atau ‘nude’ dioles di bibir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 2:07 PM