DARI kiri penyampai radio dan pengacara 8TV Cheryl Lee Xin Yi bersama Chong dan pelakon Dynas pada majlis pelancaran Program Keahlian Regular CARiNG baru-baru ini.
DARI kiri penyampai radio dan pengacara 8TV Cheryl Lee Xin Yi bersama Chong dan pelakon Dynas pada majlis pelancaran Program Keahlian Regular CARiNG baru-baru ini.
Zaitie Satibi

Dalam dunia digital hari ini, semua orang mahukan akses yang mudah dan pantas sama ada bagi pencarian maklumat atau perkhidmatan apatah lagi jika ia berkaitan dengan penjagaan kesihatan. Memahami keperluan ini, Farmasi CARiNG mengorak langkah membuktikan kesediaannya untuk berubah dan kekal relevan dengan memperkenalkan Program Keahlian Regular CARiNG yang baru pada Januari lalu.

Dibangunkan bersama Capillary Tech, program keahlian ini adalah aplikasi mudah alih yang bertujuan menjangkau, berhubung dan memberi ganjaran kepada pelanggan dalam satu penyelesaian.

Melalui pelancaran aplikasi ini, Farmasi CARiNG bersedia untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan di kedai fizikal dan dalam talian, sambil mengekalkan platform CEM (pengurusan pengalaman pelanggan) yang berkesan.

Program ini berasaskan mudah alih dan sedia untuk dimuat turun secara percuma di App Store untuk peranti Apple atau Google Play untuk peranti Android Selepas memuat turun dan mengisi butiran peribadi asas, pengguna akan diberikan keahlian seumur hidup dan 200 mata ganjaran sebagai permulaan supaya mereka dapat mengumpul dan menggunakannya untuk menebus Baucer Tunai CARiNG.

Aplikasi Program Keahlian Regular CARiNG ini bukan sekadar kad keahlian digital kerana pengguna boleh mengikuti perkembangan terbaru dan promosi farmasi ini.

Di skrin ‘HOME’ aplikasi, pengguna boleh mengakses berita terkini mengenai kesihatan dan pemakanan, yang disediakan pakar kesihatan.

Pelbagai berita mengenai pameran bergerak biasa, pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah dan bengkel percuma juga tersedia di skrin ini. Usaha ini sejajar dengan langkah pengurangan penggunaan kertas yang secara tidak langsung menyokong usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.

Walaupun farmasi ini mempunyai 114 cawangan di seluruh negara (dan akan ditambah bilangannya), masih ada pengguna yang tercari-cari di mana lokasi Farmasi CARiNG yang terdekat. Justeru, butang ‘Lokasi’ dalam aplikasi ini membolehkan pengguna mencari cawangan terdekat dan menyimpan cawangan kegemaran mereka untuk rujukan masa depan.

Manakala butang ‘Baucer’ ? pula memaparkan semua baucar dan butiran pengguna yang tersedia, jadi anda tidak perlu lagi untuk menyimpan dan menguruskan beberapa baucar secara fizikal pada satu masa. Jangan bimbang untuk mencari baucar yang hilang atau membiarkannya tamat tempoh.

Pada hari ulang tahun mereka, pengguna diberi ganjaran dengan baucar hari jadi sebanyak RM5 dan juga menerima tiga kali mata ganjaran kelahiran untuk semua pembelian.

Sebagai kad kesetiaan elektronik, aplikasi ini memberi faedah kad biasa tanpa kerumitan dan bagasi. Klik pada butang ‘Ahli’ aplikasi ini akan mendedahkan nombor keahlian pengguna, kod bar untuk pengimbasan dan mata ganjaran terkumpul bagi penebusan.

Butang ‘E-Store’ pula mengarahkan pengguna terus ke kedai dalam talian Farmasi CARiNG supaya pengguna boleh membeli-belah dalam suasana damai dan selesa di rumah. Menyedari ramai pengguna mempunyai pelbagai kad keahlian kesetiaan, Pengarah Urusan Pengurusan Runcit Farmasi CARiNG Sdn Bhd, Chong Yeow Siang berkata, kad ini membolehkan pengguna membeli barang keperluan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Dengan pelancaran aplikasi ini, kami berharap dapat berada lebih dekat dengan pelanggan di samping memberikan perkhidmatan dan produk terbaik sambil memberikan ganjaran sebagai penghargaan kepada mereka,” kata Chong.

Pada pelancaran itu, pelbagai jenama seperti Tiger Balm, Allergan, Scotts, Blackmores, Dermareen, Avene, QV, Splat, Jordan, Cypress Medi, GoodMorning, Body Buddy, Hiruscar and Brand’s turut mengambil bahagian mempamerkan produk mereka.

Pelakon dan pengacara TV, Dynas Mokhtar, DJ radio 988 dan pengacara 8TV, Cheryl Lee Xin Yi turut hadir memeriahkan acara serta berkongsi pengalaman menggunakan Aplikasi Program Keahlian Regular CARiNG. Menurut Dynas, penggiat pemuliharaan alam sekitar, dia gembira dengan adanya aplikasi yang tidak menggunakan kertas untuk risalah promosi dan kad plastik yang berakhir di tapak pelupusan sampah.

Maklum balas positif disuarakan juga oleh Cheryl yang mengakui mempunyai banyak kad keahlian yang tidak digunakan dan tidak mendatangkan keuntungan. Namun aplikasi ini menjadi nafas baru kerana ia menangani masalah utama dengan kad keahlian dan malah ia juga memberi pengguna banyak bonus melalui mata ganjaran.

Buat pelanggan setia Farmasi CARiNG, jangan lepaskan peluang menikmati pelbagai kemudahan dengan memuat turun aplikasi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 1:09 PM