CARA mudah menikmati hidangan ayam panggang percuma.
CARA mudah menikmati hidangan ayam panggang percuma.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Dikenali dengan hidangan ayam panggang Peri-Peri, Nando's kini memperkenalkan platform terbaru untuk memberi peluang kepada penggemar jenamanya menikmati sajian secara percuma.

Menampilkan lebih banyak ganjaran dan kemudahan akses buat pencinta hidangan ayam panggangnya, aplikasi yang boleh dimuat naik secara percuma itu mengandungi senarai lengkap semua restoran jenamanya, menu bersama kandungan kalori, ruang pertanyaan dan program Kesetiaan PERi-Vilege Nando's.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nando's Chickenland Malaysia Sdn Bhd Ian Cruddas, program kesetiaan itu mengetengahkan pandangan dan inovasi jenama berkenaan dengan memberi keutamaan kepada nilai serta konsep mesra pengguna.

"Program ini menambah pengalaman yang menyeronokkan bersama jenama ini. Kami membuat keputusan untuk menerapkan program kesetiaan ke dalam aplikasi ini berdasarkan perubahan gaya hidup pelanggan masa kini.

"Apatah lagi individu masa kini tidak boleh meninggalkan telefon mudah alih mereka walaupun ke mana saja," katanya.

Pelanggan yang memuat turun aplikasi berkenaan juga berhak menikmati rebat sehingga 25 peratus. Melalui navigasi itu, ia memudahkan pengguna menggunakan aplikasi berkenaan sebaik saja mereka mendaftar diri.

Selepas mendaftar, pelanggan boleh terus menikmati ganjaran dengan cara mengumpulkan satu simbol cili setiap kali mengunjungi restoran itu.

Program kesetiaan dengan keahlian percuma itu berfungsi melalui sistem 'kunjung dan dapat' iaitu dengan setiap cili ketiga, keenam dan kesembilan yang terkumpul, pelanggan diberi ganjaran berupa hidangan ayam Peri-Peri secara percuma.

Pelanggan juga akan memperoleh hidangan suku, separuh atau seekor ayam panggang secara percuma mengikut jumlah cili yang dikumpul.

Caranya mudah iaitu pelanggan hanya perlu menunjukkan ID keahlian pada telefon mudah alih jika ingin menjamu selera di cawangan restoran berkenaan. Ini lebih mudah berbanding membawa kad keahlian mereka.

Aplikasi percuma itu boleh dimuat turun daripada Apps Store atau peranti android secara percuma. Untuk sebarang maklumat lanjut layari, www.perivilege.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:02 AM