KEMPEN bermula 1 Oktober hingga 30 November depan.
KEMPEN bermula 1 Oktober hingga 30 November depan.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Waktu mandi mampu menyelamatkan nyawa anda kerana pemeriksaan sendiri payu dara ketika mandi waktu terbaik dan termudah bagi membantu wanita mengesan tanda awal kanser payu dara.

Bagi menggalakkan wanita menjadikan pemeriksaan sendiri payu dara ketika mandi sebagai satu rutin penting dalam kehidupan seharian, pengeluar jenama sabun mandian di Malaysia, Shokubutsu melancarkan kempen proaktif ‘Berikrar untuk Memeriksa Sendiri Ketika Mandi’ baru-baru ini.

Kempen terbabit yang bermula sejak 1 Oktober sehingga 30 November depan bermatlamat mengajak 250,000 wanita berikrar bagi melakukan pemeriksaan sendiri payu dara ketika mandi setiap bulan.

Dengan sokongan daripada rakan kerjasama Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), inisiatif ini turut memperkasa dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita bahawa pemeriksaan payu dara secara berkala tanggungjawab diri sendiri.

Ia bukan saja sekadar tanggungjawab, malah langkah itu sekali gus mampu menyelamatkan nyawa sekitarnya kanser payu dara dapat dikesan lebih cepat.

Kempen bertujuan menggalakkan wanita mengutamakan kebajikan diri selain penting untuk individu tersayang seperti ahli keluarga yang turut terjejas sama seperti penghidap kanser.

Kempen diterajui Shokubutsu itu juga tindak balas terhadap realiti bahawa kanser payu dara ialah kanser kedua paling kerap dihidapi di dunia dan pengesanan awal mampu meningkatkan kadar jangka hayat pesakit.

Statistiknya saja menjadi faktor penggerak bagi memotivasikan wanita untuk melakukan sendiri pemeriksaan payu dara ketika mandi.

Menurut Pengurus Pemasaran Jabatan Produk Penjagaan Peribadi Southern Lion Sdn Bhd Jackie Low, kebanyakan wanita menjalani kehidupan yang sibuk sama ada di pejabat, di rumah serta meluangkan masa bersama anak-anak.

“Mungkin disebabkan kekangan waktu atau ketidaksesuaian masa untuk mengambil tahu mahupun mempraktikkan langkah pemeriksaan sendiri payu dara menjadikan wanita tidak mengutamakan kesihatan diri sendiri.

“Dalam pada itu, ramai wanita mengamalkan sikap tidak mengambil tahu sebaliknya berasakan ia sebagai satu perkara remeh dan menyusahkan,” katanya.

Menurutnya, memandangkan setiap individu termasuk wanita mandi setiap hari, pihaknya menyedari mandi masa terbaik untuk mempraktikkan pemeriksaan sendiri payudara.

“Melakukan pemeriksaan sendiri ketika mandi itu memberi lebih peluang dan sinar harapan buat wanita,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Perubatan NCSM Dr Saunthari Somasundaram berkata, lebih daripada 90 peratus wanita yang disahkan menghidap kanser payu dara di pering­kat awal mempunyai peluang lebih cerah untuk diselamatkan.

“Hanya selepas lima tahun tamat tempoh rawatan, pesakit disahkan benar-benar bebas daripada kanser.

“Oleh itu, NCSM menekankan pentingnya pencegahan melalui pengesanan awal dengan melakukan pemeriksaan sendiri payu dara setiap bulan,” katanya.

Menurutnya, ia mudah dan tidak mengambil masa lebih daripada lima minit namun sekiranya mempunyai kekangan waktu wanita boleh lakukan pemeriksaan sendiri ketika mandi kerana ia waktu yang paling sesuai dan mudah.

Setiap botol mandian yang terjual sepanjang tempoh kempen itu mewakili satu ikrar Shokubutsu akan menyumbangkan 10 sen kepada NCSM.

Shokubutsu menyasarkan mengumpul RM25,000 menerusi 250,000 ikrar terbabit. Sebagai sokongan kepada kempen ini, ia menganjurkan siri jelajah di seluruh negara, promosi di kedai dan rangkaian media sosial dalam mendidik wanita mengenai cara melakukan pemeriksaan sendiri payu dara ketika mandi.

Shokubutsu turut mereka aplikasi istimewa pada laman Facebooknya untuk wanita Malaysia memuat naik dan berkongsi ikrar mereka sesama rakan mereka dan menerima baucar mamogram 3D bersama khidmat nasihat percuma apabila membeli Thin Prep (Pap Smear) di Klinik Kanser dan Saringan Kesihatan NCSM dengan harga istimewa.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.facebook.com/ShokubutsuMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:08 AM