Dr Mohamed Rafi Feizal dan Dr Ummul Wahiy Abdul Hakim

KANSER serviks adalah kanser ketiga paling tinggi dihidapi wanita di negara ini membabitkan 12 peratus daripada semua kanser yang dihidapi wanita selepas kanser payudara dan usus besar.

Ia adalah sejenis kanser yang berkembang pada serviks wanita (masuk ke rahim dari faraj) dan lazimnya tidak mempunyai gejala pada peringkat awal.

Bagaimanapun, simptom paling biasa adalah pendarahan faraj yang luar biasa dan boleh berlaku selepas hubungan seks di antara tempoh haid atau selepas menopaus.

Penyebab utama kanser serviks ialah jangkitan virus papilloma manusia (HPV) dan kebelakangan ini semakin banyak bukti menunjukkan HPV menjadi faktor relevan dalam kanser anogenital lain (anus, vulva, vagina dan zakar) dan kanser kepala serta leher.

Jenis HPV 16 dan 18 ialah strain yang bertanggungjawab untuk kira-kira 70 peratus daripada semua kanser serviks di seluruh dunia.

HPV sering disebarkan semasa persetubuhan faraj atau dubur. Ia juga boleh disebarkan melalui hubungan kemaluan atau melalui sentuhan tangan ke bahagian sulit.

Oleh itu, wanita yang tidak pernah melakukan hubungan seks juga berisiko terdedah kepada kanser serviks.

Antara gejala lain yang dikaitkan dengan kanser serviks ialah keputihan luar biasa dalam jumlah, warna, konsistensi atau bau, buang air kecil lebih kerap, sakit perut dan sakit ketika membuang air kecil.

Selama bertahun-tahun, sel-sel yang melapisi permukaan serviks menjalani satu siri perubahan. Dalam kes yang jarang berlaku, sel-sel prakanser ini boleh menjadi kanser.

Bagaimanapun, perubahan sel dalam serviks boleh dikesan pada peringkat awal dan rawatan dapat mengurangkan risiko perkembangan kanser serviks.

Pelbagai kesedaran kesihatan yang berkaitan dengan kanser serviks dianjurkan di Malaysia dan peringkat global sebagai langkah membendung penyakit tular ini seawal di bangku sekolah.

Bermula pada 2010, vaksin HPV diberikan secara percuma kepada pelajar berumur 13 tahun sebagai langkah perlindungan pertama daripada kanser serviks. Vaksin ini juga berpotensi untuk mengurangkan kejadian kanser anogenital yang lain.

Suntikan vaksin merangsang sistem pertahanan badan untuk menghasilkan antibodi terhadap virus HPV. Apabila terdedah kepada jangkitan HPV, antibodi itu akan menghalang kemasukan atau jangkitan virus HPV ke atas

wanita terbabit.

Bagaimanapun, kesan optimum daripada vaksin itu cuma akan diperoleh oleh wanita yang belum terdedah kepada hubungan seks.

Selain itu, doktor boleh mendiagnosis kehadiran sel-sel kanser yang tidak normal dan berpotensi melalui ujian lumuran Pap. Sampel yang diambil daripada bahagian serviks akan dihantar ke makmal untuk memeriksa sel-sel pramatang atau kanser.

Persatuan Kanser Amerika mengesyorkan wanita memulakan pemeriksaan kanser serviks iaitu menjalani ujian lumuran Pap pada usia 21 sehingga berumur 30. Apabila anda berusia 30 tahun, anda harus terus menjalani ujian lumuran Pap setiap tiga tahun berikutnya.

Ujian saringan lumuran Pap perlu dijalani setiap wanita kerana vaksin HPV hanya mampu mencegah 70 peratus daripada menghidapi kanser serviks.

Penulis adalah Pakar Obstetrik & Ginekologi Hospital Umra

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 10:58 PM