WENDY (tengah) bersama perunding imej bertauliah BII, Michelle Tan (kiri) dan Tiffany Fong.
WENDY (tengah) bersama perunding imej bertauliah BII, Michelle Tan (kiri) dan Tiffany Fong.
Hajahfarhana Tarmudi

Kira-kira 14 tahun lalu, ketika Wendy Lee berkecimpung dalam dunia perunding imej, bidang berkenaan belum popular seperti sekarang dan di dalam kelas di Singapura hanya ada 10 pelajar termasuk dirinya.

Bagi memulakan kehidupan yang agak payah di ibu kota Kuala Lumpur ketika itu, dia bermula dengan menjual aksesori di pusat beli-belah.

Pada masa sama, dia tidak jemu dan sering mencari rentak untuk memperkenalkan bidang perundingan imej kepada orang awam melalui gerai jualan aksesorinya.

Dia perlu berusaha dengan gigih bagi memberi kesedaran kepada orang awam terutama yang bekerja di sektor profesional mengenai kepentingan imej dalam kerjaya mereka.

“Timbul idea untuk berkongsi ilmu dengan sesiapa saja yang berminat menerusi ceramah secara percuma. Pada masa sama, saya letakkan sekali aksesori yang dijual pada sesi ceramah itu.

“Jika ada rezeki, adalah orang beli kerana ketika itu saya hanya mahu sampaikan dan kongsi ilmu yang pernah dipelajari kepada individu berminat.

“Ceramah bermula di hotel dengan mengajar mereka mengenai imej seperti solekan dan dandanan rambut. Selepas itu, saya mendapat jemputan untuk memberi ceramah kepada syarikat korporat dan kelab,” katanya sambil tersenyum.

Ketika itu, kesedaran mula timbul mengenai penjagaan imej atau menghias diri dalam kalangan wanita seperti mekap, pemakaian baju, ikatan tudung atau dandanan rambut.

Terfikir juga mengenai golongan lelaki dan dia sentiasa memikirkan ilmu bersesuaian untuk membantu mereka dalam penjagaan imej terutama bagi meningkatkan karier masing-masing.

Kini, ada syarikat yang meletakkan syarat supaya pekerja mereka perlu melalui latihan korporat untuk mendapatkan pekerjaan tertentu atau naik pangkat.

“Pada awal pembabitan saya dalam bidang ini banyak memberi fokus terhadap penggunaan bahasa Inggeris di dalam kelas, tetapi kini ia ditambah dengan Bahasa Melayu dan Mandarin.

“Ia bertujuan memberi peluang kepada semua orang dengan bahasa yang mereka selesa, tapi perkara yang lebih penting adalah ilmu dapat disampaikan dan diterima baik untuk kedua-dua pihak sama ada tenaga pengajar ataupun peserta,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan Sijil Perunding Imej kepada 30 pelajar Institut Antarabangsa Brand Image (BII), baru-baru ini.

DR Ng (duduk tiga dari kiri) bersama pelajar yang berjaya menamatkan pengajian mereka.
DR Ng (duduk tiga dari kiri) bersama pelajar yang berjaya menamatkan pengajian mereka.

Sijil disampaikan Pengarah Institut Pembangunan Profesional, Universiti Terbuka Malaysia Profesor Madya Dr Richard Ng.

Jelas pengasas dan pengetua bagi BII ini lagi, bidang perunding imej membantu pelanggan memperbaiki penampilan diri sendiri atau atas sebab profesional.

Ia membantu menilai, memperbaiki, meningkatkan atau mengemas kini penampilan bagi memastikan imej mereka sentiasa konsisten dengan diri, sosial ataupun peranan dalam bidang kepakaran masing-masing.

“Dalam perjalanan kita beralih ke abad 21, kami berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu membangunkan negara dan komuniti ke arah masa depan yang lebih cerah.

“Melalui kemahiran asas yang diperlukan setiap individu dalam aspek jenama dan imej, ia bukan saja membantu perniagaan berkembang, malah membawa jenama negara di mata dunia,” katanya.

Tip perbaiki diri

Bagi membantu memulakan perjalanan hidup yang baru, dia berkongsi beberapa perkara yang dipelajarinya. Antaranya:

• Peraturan pertama: Sentiasa memberi penghargaan kepada diri sendiri

Memberi nilai penghargaan kepada diri sendiri dan akan membuatkan orang di sekeliling percaya yang anda memang layak diberikan penghargaan berkenaan.

Ini kerana anda bukan lagi orang biasa yang berada di serata tempat, tetapi dikenali sebagai seorang perunding yang amat bernilai.

• Peraturan kedua: Kadang-kala anda perlu bertukar rakan

Babitkan diri dengan mereka yang sentiasa percaya kepada keupayaan, gembira untuk melihat anda meningkat maju dan sentiasa mengucapkan tahniah di atas peningkatan diri serta berbangga melihat perubahan diri anda.

• Peraturan ketiga: Lompat saja!

Dalam kehidupan, ada kalanya hanya perlu untuk melompat. Regangkan tangan, pandang ke depan, lompat dan percaya pasti ada orang yang akan menyambut serta menarik anda dengan selamat.

Jika berfikir terlalu banyak, kemungkinan tidak akan melompat dan lebih teruk lagi, anda akan jatuh. Sebagai langkah permulaan di dalam hidup, akan ada cabaran yang tidak berkesudahan bakal muncul.

Namun, anda perlu mengambil risiko berkenaan. Selagi ia tidak membuatkan anda sakit atau menyebabkan anda masuk penjara atau muflis, teruskan dan lompat saja!

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 3:04 PM