DR Patricia menunjukkan struktur penyakit genetik.
DR Patricia menunjukkan struktur penyakit genetik.
Intan Mas Ayu Shahimi


BAGI pasangan yang menantikan kehadiran zuriat, berita kehamilan adalah khabar paling menggembirakan. Ketika ini, perasaan berdebar dan teruja sukar digambarkan.

Bermulalah episod luar biasa dalam kehidupan. Tanda kehamilan seperti mabuk, alahan terhadap persekitaran, pilihan sajian, perkembangan janin, pemeriksaan kesihatan, komplikasi mahupun risiko, semuanya diberi perhatian.

Soal penjagaan bayi dalam kandungan dan keperluan ibu lazimnya menjadi tumpuan utama. Apa saja kehendak dan keperluan dituruti.

Bagaimanapun, penjagaan dari sudut luaran saja masih tidak menjamin kelahiran bayi yang sihat. Ramai ibu bapa terlalu fokus kepada proses kehamilan, komplikasi dan kelahiran.

Mereka lupa mempertimbangkan beberapa risiko lain, khususnya membabitkan penyakit yang mungkin diwarisi anak nanti.

Sekecil-kecil masalah seperti obesiti boleh menjadi besar. Apatah lagi jika membabitkan masalah alahan, asma, diabetes dan talasemia.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Dr Patricia Lim Su-Lyn, kehamilan bukan sekadar mengenai tumbesaran janin, perubahan fisiologi ibu dan peluang memiliki zuriat saja. Ia melangkaui banyak fasa dan risiko, bergantung latar belakang pasangan berkenaan.

“Lazimnya, ibu bapa yang mendapat khabar kehamilan lebih memikirkan kesihatan ibu dan kelahiran bayi. Ramai yang tidak memberi perhatian terhadap risiko penyakit keturunan seperti alahan dan asma.

“Sesetengahnya mungkin berpendapat ia tidak akan menjejaskan kehidupan anak pada masa akan datang, namun realitinya ia masih boleh mengancam nyawa jika diabaikan,” katanya.

Jelas Dr Patricia, penyakit keturunan wujud berikutan masalah genetik dihadapi pasangan. Sama ada ibu atau ayah menjadi pembawa, atau kedua-duanya mewarisi penyakit berkaitan.

“Antara penyakit keturunan yang kita bimbang adalah talasemia. Ia diwarisi ibu atau bapa kepada anak melalui gen (bahan baka). Tidak kira anak lelaki atau perempuan, mereka mempunyai peluang sama untuk mendapat penyakit ini.

“Penyakit ini menghalang badan daripada menghasilkan jumlah darah yang mencukupi dan berkualiti. Ia disebabkan oleh perubahan terhadap gen yang mengawal penghasilan hemoglobin.

“Sementara hemoglobin adalah protein dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan. Perubahan kepada hemoglobin boleh menyebabkan kekurangan darah yang teruk, sedangkan badan manusia bergantung kepadanya,” katanya.

Katanya, dalam kes tertentu, ada pasangan tidak sedar yang mereka sebenarnya pembawa talasemia. Apabila lahirnya anak, mereka terpaksa berdepan dengan zuriat yang mempunyai masalah talasemia major.

“Badan anak talasemia major tidak mampu menjana hemoglobin sendiri, menjadikan sel darah merah mereka tidak sempurna. Berikutan itu, mereka perlu kerap ke hospital untuk menjalani pemindahan darah.

“Bagaimanapun, kalau (ibu atau bapa) saja yang menghidap talasemia, itu tidak mengapa. Paling teruk pun, 25 peratus daripada anak mereka akan menjadi pembawa dan 75 peratus lagi normal,” katanya.

PENYAKIT PELBAGAI FAKTOR

Selain talasemia, ada beberapa jenis penyakit keturunan lain yang turut membimbangkan pengamal perubatan kini. Lebih-lebih lagi ia berisiko muncul atas pengaruh persekitaran seperti pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

Senarai berikut mungkin boleh dijadikan rujukan. Sebaik-baiknya, rancang kehamilan lebih awal dan berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan. Setidak-tidaknya ibu bapa lebih bersedia berdepan sebarang kemungkinan dalam kelahiran.

EKZEMA daripada ibu boleh membawa masalah alahan pada anak.
EKZEMA daripada ibu boleh membawa masalah alahan pada anak.

1. ASMA DAN EKZEMA

Biarpun ibu bapa tidak mempunyai kedua-dua penyakit ini, anak masih mempunyai 30 peratus risiko untuk menghidapi asma atau ekzema disebabkan faktor persekitaran.

Namun, jika ibu atau bapa mempunyai asma atau ekzema, peratusan untuk mewarisi kedua-dua penyakit ini akan menjadi lebih tinggi.

Ada juga kes ayah atau ibu mempunyai salah satu penyakit ini. Secara tidak langsung, bayi yang dilahirkan berisiko tinggi mendapat alahan pada makanan.

Contoh paling kerap berlaku adalah alahan bayi pada protein susu lembu. Bagi menangani keadaan ini, biasanya doktor akan menggalakkan ibu untuk memberi susu badan.

Berbeza dengan susu lembu, susu ibu lebih mudah dihadam. Bagi ibu yang tidak mampu memberi susu badan, doktor menggalakkan supaya bayi diberi formula susu penuh terhidrolisis.

Pemprosesan susu ini akan menghadam protein susu lembu menjadi serpihan kecil. Risiko alahan kepada bayi akan berkurang dan zatnya dapat diserap dengan baik.

2. DIABETES

Bergantung kepada jenis. Misalnya diabetes Jenis I, boleh jadi disebabkan faktor genetik. Bagi Jenis II (diabetes mellitus) pula, lazimnya dikaitkan dengan kondisi kedua-dua ibu bapa yang menghidap diabetes.

Mereka mungkin melahirkan bayi yang sihat, tetapi masih berisiko mendapat diabetes apabila usia anak mencecah 30 hingga 40-an berikutan faktor persekitaran, pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

Bagaimanapun, jika anak dibesarkan dalam persekitaran sihat, sentiasa menjaga pemakanan, menyedari kepentingan bersenam, mereka boleh mengelak risiko diabetes pada masa depan.

Bagi wanita yang menghidapi diabetes Jenis II, mereka masih boleh hamil, tetapi perlu dirancang ketika kawalan gula dalam keadaan stabil.

Gula perlu dikawal untuk mengelak risiko kecacatan jantung dan keguguran janin. Sama ada anak berkenaan bebas diabetes atau tidak apabila dewasa kelak, ia bergantung kepada faktor persekitaran, pemakanan dan gaya hidupnya sepanjang tempoh membesar.

3. OBESITI

Sama seperti diabetes, keadaan ini bukan saja boleh diwarisi, malah dipengaruhi persekitaran individu. Ketika kita dalam kandungan, sel tubuh sudah diprogramkan untuk mewarisi gen kedua-dua ibu bapa.

Sekiranya ibu atau bapa obes, bayi yang dilahirkan kelak juga berisiko membesar dengan masalah obesiti. Tetapi jika ibu bapa dan anak mempunyai kesedaran untuk menjalani hidup sihat, risiko ini boleh dikawal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 5:30 AM