FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Fahiz Ariff


Kuala Lumpur: Hukuman mati bukan satu bentuk hukuman baharu dalam sistem keadilan jenayah yang bertindak sebagai langkah pencegahan dan pemulihan.

Dalam konteks ini, jenayah yang sering menjadi perbahasan ialah jenayah membabitkan Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun, akta itu dipinda pada 2017 yang memberikan kuasa kepada mahkamah untuk menghukum pengedar dadah dengan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup.

Ringkasnya, hukuman mati tidak lagi bersifat mandatori bagi kesalahan itu.

Sebagai usaha menambah baik sistem keadilan mahkamah, kerajaan juga setuju memansuhkan hukuman mati.

Pada Jun 2022 menyaksikan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Maka persoalan yang berlegar adalah jika senario membabitkan kesalahan membunuh dengan niat seperti termaktub dalam Seksyen 301 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan (seksyen 302).

Wajarkah hukuman mati ini tidak lagi bersifat mandatori?

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, bagi situasi kes begini, undang-undang jenayah Islam mempunyai alternatif terbaik.

Katanya, hukuman mati dalam undang-undang jenayah Islam ialah pilihan hukuman terakhir.

Malah bagi kes qisas, hukuman mati boleh diganti dengan bayaran diyat.

"Walaupun undang-undang jenayah Islam (qisas) itu menyebut balasan setimpal terhadap kesalahan dilakukan namun mengapa tidak kita memberitahu masyarakat bahawa ajaran al-Quran menuntut budaya memaafkan."

"Dalam konteks ini, saya melihat memaafkan dengan diyat blood money adalah alternatif terbaik," kongsinya.

Jelasnya, Diyat ialah bayaran wajib dibayar penjenayah bagi kes pembunuhan atau kecederaan dengan kadarnya ditentukan syarak.

Walaupun, Diyat disifatkan sebagai 'bayaran darah', ia masih bersifat hukuman dan bukannya pampasan.

"Jika kaedah ini dilaksanakan, maka sebahagian daripada prinsip hukum Islam dapat dilaksanakan.

"Kerana itu saya sebutkan, jika waris mangsa enggan dan bertegas dengan hukuman bunuh, itu hak dia."

"Tapi, jika konsep diyat dipraktikkan dalam perundangan sivil ia lebih baik. Walaupun, tidak laksana undang-undang jenayah Islam, nilai pampasan itu adalah mengikut nilai diyat yang ada dalam konteks dan falsafah ajaran Islam," katanya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa hukuman mati masih ada dan apa yang dipersetujui Kabinet pada Jun tahun lalu, ialah untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.

"Pemansuhan hukuman mati mandatori akan memberi kuasa serta budi bicara penuh hikmah kepada hakim dan mahkamah dalam membuat keputusan lebih wajar berdasarkan kesalahan yang dilakukan," jelasnya.

Menurutnya, apa yang berlaku kini adalah kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bukannya hukuman mati. Itu kena faham."

"Ini kerana apabila hukuman mati mandatori dihapuskan ia memberi kuasa serta budi bicara penuh hikmah kepada hakim dan mahkamah dalam membuat keputusan lebih wajar berdasarkan kesalahan yang dilakukan," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 7:01 AM