IMAM Taha Abd El-Galil di depan Masjid Yeni. FOTO Reuters
IMAM Taha Abd El-Galil di depan Masjid Yeni. FOTO Reuters
AFP

Athens: Greece membuka semula sebuah masjid bersejarah di bandar utara Thessaloniki, buat kali pertama selepas lebih seabad untuk membenarkan solat sunat Aidilfitri.

Kira-kira 100 orang menghadiri solat di Masjid Yeni, kali terakhir ia digunakan dalam kapasiti ini pada awal 1920-an, sebelum perang antara Greece dan Turkiye membawa kepada pengurangan penduduk dan populasi Islam di bandar itu.

"Kami bernasib baik kerana ia dibuka untuk kami," kata bekas pembuat perabot, Ismael Bedredin, 66, memberitahu AFP.

"Saya tinggal di Thessaloniki selama empat tahun dan ini adalah kali pertama saya diberi peluang untuk bersolat bersama keluarga Islam saya," tambah Ali, seorang pelajar ekonomi Turkiye berusia 23 tahun yang enggan memberikan nama keluarganya.

Polis Greece mengawal bangunan itu ketika umat Islam menunaikan solat di masjid itu.

IMAM Taha Abd El-Galil mengimamkan solat di Masjid Yeni. FOTO Reuters
IMAM Taha Abd El-Galil mengimamkan solat di Masjid Yeni. FOTO Reuters

Masjid Yeni yang dibina pada 1902 oleh arkitek Itali Vitaliano Poselli dan pada masa itu digunakan oleh Donme, orang Yahudi yang secara luarannya memeluk Islam.

Bangunan dua tingkat itu digunakan secara ringkas pada 1922 untuk menempatkan pelarian Perang Greco-Turki. Ia kemudiannya menjadi muzium arkeologi dan galeri perbandaran.

Greece ialah sebuah negara yang kebanyakan penduduknya menganut Kristian Ortodoks dan tempat ibadat Islam, kebanyakannya berada di Thrace, sebuah wilayah di timur laut negara itu berhampiran sempadan Yunani-Turki yang juga tempat tinggal minoriti Islam selama berabad-abad.

Di Athens, bilangan orang Islam berkurangan sejak Perang Yunani-Turki, tetapi bilangan mereka meningkat semasa krisis pelarian 2015.

Masjid baharu rasmi pertama di Athens dibuka pada November 2020, yang mengambil masa lebih sedekad untuk disiapkan selepas mendapat tentangan kuat daripada Gereja Ortodoks serta daripada kumpulan nasionalis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 11:08 AM