PELANCONG berlindung di bawah bayang pokok ketika cuaca panas di Ronda, Sepanyol. FOTO Reuters
PELANCONG berlindung di bawah bayang pokok ketika cuaca panas di Ronda, Sepanyol. FOTO Reuters
BERNAMA

Madrid: Sepanyol sedang dilanda gelombang haba keempat musim panas dan ia dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga Khamis dengan peningkatan risiko kebakaran hutan, Agensi Berita Jerman (dpa) memetik perkhidmatan cuaca AEMET pada Isnin.

Kemuncak fenomena itu akan dicapai pada Rabu dengan suhu mencecah 44 darjah Celsius di wilayah sekitar ibu negara Madrid dan di Jaen di Andalusia, katanya.

Pada Isnin, suhu sehingga 42 darjah dijangka terutamanya di wilayah selatan Andalusia dan Extremadura barat negara itu.

Di kebanyakan kawasan, "malam tropika" dijangka berlaku semasa gelombang haba dengan suhu lebih daripada 20 darjah dan kadangkala mencecah lebih 25 darjah Celsius.

Bagaimanapun Kepulauan Balearic Sepanyol, termasuk pulau pelancongan popular Mallorca, serta seluruh Pantai Mediterranean Sepanyol dijangka terhindar daripada gelombang haba kali ini.

Sementara itu, terdapat beberapa kebakaran di Portugal dengan kebakaran itu memusnahkan kawasan kira-kira 7,000 hektar bersamaan dengan 10,000 padang bola sepak, di daerah Castelo Branco dan Proenca-a-Nova di tengah negara berkenaan pada hujung minggu.

Kebakaran berjaya dikawal pada Isnin, tetapi kira-kira 1,000 kakitangan kecemasan sedang memadamkan kebakaran baharu di Odemira di barat daya, di Ourem di tengah dan di Mangualde di utara Portugal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 3:26 PM