BOMBA memadam kebakaran sebuah kereta ketika protes keganasan susulan kes remaja mati ditembak polis. FOTO AFP
BOMBA memadam kebakaran sebuah kereta ketika protes keganasan susulan kes remaja mati ditembak polis. FOTO AFP
AFP

Paris: Polis Perancis bersiap sedia menghadapi lebih banyak protes berikutan insiden remaja ditembak mati oleh seorang anggota polis, yang menyebabkan pihak berkuasa bergelut untuk membendung krisis semakin meruncing.

Menurut nota keselamatan dalaman, "lebih banyak keganasan dengan tindakan yang disasarkan kepada kuasa ketenteraman dan simbol negara", kata sumber polis.

Satu kawasan dekat pinggir bandar Paris, Clamart sudah mengisytiharkan perintah berkurung antara 9 malam dan 6 pagi pagi mulai Khamis hingga Isnin depan.

Perancis berdepan protes selama dua malam selepas seorang remaja berusia 17 tahun bernama Nahel ditembak pada Selasa dengan kejadian itu dirakam menerusi video.

"Saya tidak salahkan polis, saya salahkan satu individu, orang yang meragut nyawa anak saya," kata ibu Nahel, Mounia, kepada saluran France 5 ketika ditemui pemberita selepas insiden itu.

Katanya, polis berusia 38 tahun yang bertanggungjawab ditahan dan didakwa pada Khamis atas tuduhan membunuh.

Rungutan mengenai kepolisan dan profil kaum di pinggir bandar berpendapatan rendah dan berbilang etnik di Perancis, dilihat menyemarakkan rusuhan.

Perarakan memperingati Nahel diketuai oleh ibunya, berakhir dengan tindakan polis pencegah rusuhan menembak gas pemedih mata ketika beberapa kereta dibakar di pinggir bandar Nanterre, barat Paris.

Kira-kira 40,000 polis dikerahkan untuk menjaga keamanan pada Khamis dan jumlah itu adalah empat kali ganda berbanding pada Rabu.

Kereta, tong sampah, sekolah dan pejabat kerajaan di sekitar Paris dan di bandar lain, dibakar pada malam Rabu, manakala kira-kira 150 individu ditahan di seluruh negara.

Bagi memulihkan ketegangan, perkhidmatan bas dan trem di Paris dihentikan selepas 9 malam pada Khamis.

Presiden Emmanuel Macron menyeru supaya semua bertenang dan menyifatkan protes keganasan itu tidak wajar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 11:45 AM