MOUNIA ketika menyertai perarakan di  pinggir bandar Nanterre, barat Paris. FOTO AFP
MOUNIA ketika menyertai perarakan di pinggir bandar Nanterre, barat Paris. FOTO AFP
AFP

Paris: Ibu kepada Nahel iaitu remaja lelaki warga Perancis yang ditembak mati oleh pegawai polis, mengandaikan insiden bermotifkan perkauman, namun dia tidak menyimpan dendam terhadap pasukan polis.

"Saya tidak salahkan polis, saya salahkan satu orang saja iaitu individu yang meragut nyawa anak saya.

"Saya ada kawan yang bertugas sebagai pegawai polis. Mereka berada di belakang saya... mereka tidak bersetuju dengan apa yang berlaku," kata Mounia kepada saluran France 5 ketika ditemubual media susulan insiden pada pagi Selasa.

Menurut Mounia, suspek iaitu pegawai berusia 38 tahun itu yang didakwa dengan pembunuhan, mempunyai cara lain untuk menangani anaknya yang memandu kereta Mercedes tanpa lesen.

"Dia tidak perlu membunuh anak saya. Peluru? Dekat sangat ke dada dia? Tidak, tidak," luah ibu tunggal yang pekerja dalam sektor perubatan sambil menangis ketika berkongsi perasaannya.

Pegawai polis itu "melihat wajah Arab, seorang kanak-kanak kecil, dan mahu mengambil nyawanya," katanya.

"Berapa lama perkara ini akan berterusan? Berapa ramai lagi kanak-kanak yang akan pergi seperti ini? Berapa ramai ibu yang akan terima nasib seperti saya?" tambahnya.

Mounia mengetuai perarakan melalui pinggir bandar Nanterre, barat Paris, tempat dia tinggal bersama anaknya pada Khamis. Acara itu berakhir dengan penunjuk perasaan bertempur dengan polis.

Sementara itu, peguam bela kepada pegawai polis itu memaklumkan anak guamnya sudah meminta maaf kepada keluarga semasa dalam tahanan.

"Kata-kata pertama yang diucapkannya maaf dan kata-kata terakhir yang diucapkannya ialah maaf kepada keluarga.

"Hatinya hancur, dia tidak bangun pagi untuk membunuh orang. Dia enggan membunuhnya," kata peguam bela, Laurent-Franck Lienard kepada BFMTV lewat Khamis.

Protes besar-besaran diadakan di Perancis selepas remaja lelaki, Nahel, 17, ditembak mati ketika memandu kereta di Nanterre dan pegawai polis terbabit kini direman bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 12:06 PM