GAMBAR satelit menunjukkan Empangan Nova Kakhovka musnah angkara serangan Rusia. FOTO Reuters.
GAMBAR satelit menunjukkan Empangan Nova Kakhovka musnah angkara serangan Rusia. FOTO Reuters.
BERNAMA

Kyiv: Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mendakwa, tentera Rusia memusnahkan empangan besar di selatan Ukraine pada awal Selasa dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan terbabit.

Zelenskyy berkata kemusnahan empangan tenaga hidroelektrik Kakhovka hanya mengukuhkan lagi desakan bagi mengusir pasukan Rusia dari setiap inci wilayah Ukraine.

"Tidak ada sejengkal pun yang patut dibiarkan kepada mereka, kerana mereka menggunakan setiap jengkal untuk melakukan keganasan. Hanya kemenangan Ukraine yang akan mengembalikan keamanan. Dan kemenangan ini akan datang."

"Kami menyeru semua negara untuk mengutuk tindakan kejam oleh Rusia ini. Rusia harus bertanggungjawab atas jenayah dan pemusnahan di Ukraine," katanya dalam kenyataan yang disediakan kepada Bernama oleh Kedutaan Ukraine di Malaysia.

Media antarabangsa melaporkan bahawa sekitar 3 pagi waktu tempatan (6 Jun), pasukan Rusia meletupkan Empangan Hidroelektrik Kakhovka, antara fasiliti tenaga terbesar yang mengandungi kira-kira 18 juta meter padu air.

Empangan setinggi 30 meter yang melintasi Sungai Dnipro itu dibina pada 1956 dan membekalkan air bersih bagi kebanyakan wilayah tenggara Ukraine dan semenanjung Crimea.

Bencana banjir dijangka berlaku dalam tempoh 11 jam berikutnya selepas empangan itu musnah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 8:49 AM