BINTANG kelahiran Johor Bahru, Ronny Chieng bawa watak adiwira filem  Shang-Chi and The Legend of the Ten Rings
BINTANG kelahiran Johor Bahru, Ronny Chieng bawa watak adiwira filem Shang-Chi and The Legend of the Ten Rings
Syafil Syazwan Jefri


Sebut sahaja legasi filem dalam Marvel Cinematic Universe (MCU), tentunya sudah ramai yang membayangkan wajah-wajah serta aksi deretan adiwira popular.

Terbaharu, MCU hadir dengan adiwira terkini mereka dan lebih menarik lagi, ia mempertaruhkan adiwira berdarah Asia menerusi filem berjudul Shang-Chi and The Legend of the Ten Rings.

Lebih mantap lagi, filem terbaru Marvel ini juga menampilkan bintang kelahiran Malaysia, Ronny Chieng yang memegang peranan sebagai Jon Jon.

Dalam filem Shang-Chi and The Legend of the Ten Rings, Jon Jon digambarkan sebagai orang kanan Xialing, adik kepada watak adiwira Shang-Chi.

Berpeluang bekerjasama dengan nama-nama besar dalam sebuah produksi gergasi membuatkan Ronny menghargai proses pembikinan karya ini secara terperinci.

"Kesemua pelakon yang terbabit dalam filem Shang-Chi and The Legend of the Ten Rings adalah pelakon-pelakon hebat dan saya pun tentunya tak mahu menjadi orang yang paling 'lemah'.

"Jadi, set penggambaran Shang-Chi and The Legend of the Ten Rings saya jadikan medan pembelajaran. Saya berikan kerjasama sepenuhnya dan menghargai proses pembikinan karya ini," katanya.

Berpeluang mewawancara anak kelahiran Johor Bahru itu baru-baru ini secara langsung, dia berkongsi perasaannya saat menjalani penggambaran Shang-Chi and The Legend of the Ten Rings.

"Tempoh penggambaran selama dua minggu adalah tempoh terbaik buat saya sepanjang 2020. Pada ketika itu, saya dan kita semua tak tahu apa yang bakal melanda kita kerana Covid-19 belum bermula," katanya.

Berkongsi perasaannya apabila diberi peluang untuk membintangi filem yang mampu melakar sejarah ini, Ronny menganggap ia adalah peluang yang sangat berharga.

"Filem-filem Marvel adalah filem 'blockbuster'. Itu adalah perkara terbaik apabila kita menjadi sebahagian daripada pengalaman ini.

"Saya melihat dan menonton pelakon-pelakon yang membintangi filem-filem Marvel ketika saya membesar. Saya juga melihat hasil karya pengarah-pengarah hebat.

"Kini, saya sendiri menjadi sebahagian daripada garis waktu filem MCU dan ini adalah perkara terbaik serta berharga buat saya," katanya.

Mengakui bahawa dia adalah 'nerd' Marvel, Ronny tidak menafikan bahawa lebih mudah untuknya menjayakan karakter yang belum pernah wujud.

ANTARA babak menarik dilakonkan Ronny dalam filem Shang-Chi and The Legend of the Ten Rings.
ANTARA babak menarik dilakonkan Ronny dalam filem Shang-Chi and The Legend of the Ten Rings.

"Ketika zaman kanak-kanak, X-Men adalah satu-satunya karya yang kita kenal. Untuk Shang-Chi, belum ada lagi karakter seorang adiwira berdarah Asia.

"Jadi, ia tidak terlalu sukar kerana kami pelakon-pelakon Shang-Chi and The Legend of the Ten Rings boleh buat apa saja untuk gambarkan watak kami dalam filem ini," katanya.

Berkongsi mengenai cabaran terbesar dalam menjayakan watak Jon Jon adalah penggunaan dialek bahasa Inggeris yang menunjukkan ciri-ciri Malaysia.

"Jon Jon adalah watak seorang lelaki Cina dari Malaysia. Jadi, ada dialek bahasa Inggeris yang dituturkan oleh Cina Malaysia dan itu agak mencabar.

"Satu lagi perkara menarik yang ingin saya kongsikan adalah, saya juga menggunakan Bahasa Melayu dalam salah satu babak untuk menunjukkan elemen orang Malaysia dalam filem ini," katanya.

Rindu nak jumpa ibu

Dalam wawancara sama, Harian Metro juga sempat bertanya kepadanya mengenai situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

"Kami pun terpaksa hentikan penggambaran apabila Covid-19 mula menghentam dunia. Apa yang saya belajar daripada situasi ini adalah, kita perlu sentiasa menghargai detik indah dan orang-orang yang ada di sekeliling kita.

"Hargai apa saja peluang dan kesempatan yang ada atau diberikan kepada kita kerana kita tidak tahu, apa yang akan berlaku dalam masa terdekat," katanya.

Ronny juga meluahkan rasa rindu kepada ibunya yang kini menetap di Singapura.

"Saya dah dua tahun tak jumpa mak saya. Dia di Singapura dan saya benar-benar rindukannya kerana kekangan jarak. Situasi yang berlaku memisahkan saya dengan mak saya," katanya.

Selain Ronny, Shang-Chi and The Legend of the Ten Rings turut membariskan barisan pelakon hebat lain antaranya, Simu Liu, Awkwafina, Meng'er Zhang, Fala Chen, Florian Munteanu, Datuk Michelle Yeoh dan ramai lagi.

Sebelum ini, Ronny juga pernah membintangi beberapa filem lain antaranya, Crazy Rich Asians, Long Story Short, Wish Dragon, Godzilla vs Kong dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 6:00 AM