FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Madrid: Mahkamah di Sepanyol mengarahkan seorang ahli perniagaan membayar 180,000 pound sterling (kira-kira RM960,300) kepada bekas isterinya untuk bayaran gaji sebagai suri rumah selama 25 tahun.

Metro UK melaporkan, Moral diarahkan membayar jumlah berkenaan sebagai penyelesaian kes perceraian dengan Ivana.

Keputusan itu dibuat oleh hakim mahkamah di Velez-Malaga di selatan Sepanyol.

Bayaran itu ditentukan berdasarkan gaji minimum untuk kerja rumah, sepanjang tempoh perkahwinan pasangan berkenaan.

Dalam prosiding berkenaan, mahkamah mendapati Ivana, yang mempunyai dua anak perempuan hasil perkahwinan dengan Moral, bertanggungjawab untuk menjaga keseluruhan rumah mereka.

"Dia menghabiskan hampir seumur hidupnya bekerja di rumah, yang bermakna (dia) menjaga rumah, keluarga dan semuanya," menurut keputusan kes perceraian pasangan itu.

Bercakap kepada radio Cadena Ser, Ivana mendakwa Moral mahu dia hanya bekerja di dalam rumah.

Wanita itu berkata, ada kalanya, dia bekerja di gimnasium milik suaminya, dengan mengendalikan hal berkaitan perhubungan awam awam dan bertindak sebagai pemantau.

"Saya mengabdikan diri saya secara eksklusif untuk kerja di rumah, menjaga suami saya dan rumah.

"Dia membuat saya mengambil peranan khusus (dengan) melakukan kerja rumah sehingga tidak dapat melakukan banyak perkara lain," katanya.

Undang-undang di kebanyakan negara di Kesatuan Eropah menyatakan bahawa aset adalah milik dan urusan individu, sebelum dan semasa perkahwinan.

"Saya dan anak tiada apa-apa selepas bertahun-tahun berkorban segala-galanya iaitu masa, tenaga dan kasih sayang dalam keluarga.

"Saya menyokong suami saya dalam kerja dan dalam keluarga sebagai ibu dan bapa. Bagaimanapun, saya tidak pernah dibenarkan mengakses hal ehwal kewangan, semua atas namanya," kata Ivana.

Moral juga diperintahkan membayar pencen bulanan kepada isterinya bersamaan 444 pound sterling (kira-kira RM2,369).

Selain itu, lelaki itu perlu membayar secara bulanan 356 pound sterling (kira-kira RM1,900) dan 533 pound sterling (kira-kira RM2,844) kepada dua anak perempuannya, yang kini berusia 20 dan 14 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 12:47 PM