PEDRO Sanchez. FOTO REUTERS
PEDRO Sanchez. FOTO REUTERS
AFP

Madrid: Sepanyol mengumumkan kenaikan lapan peratus gaji minimum walaupun mendapat tentangan daripada kumpulan majikan berikutan krisis inflasi yang tinggi selain penganjuran pilihan raya akan datang.

Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Pedro Sanchez sebelum pilihan raya perbandaran di pelbagai wilayah dan pilihan raya umum yang dijangka diadakan menjelang penghujung tahun.

"Kami akan meluluskan kenaikan gaji minimum baharu sebanyak lapan peratus supaya menjadi 1,080 euro (RM5,003.59) sepanjang 14 bulan," katanya dalam Parlimen, semalam.

Sepanyol secara tradisinya membuat pembayaran gaji sebanyak 14 bulan setiap tahun dengan gaji tambahan biasanya dibayar pada Julai dan Disember.

"Kami komited untuk menaikkan gaji minimum kepada 60 peratus daripada purata gaji Sepanyol," katanya.

Sanchez pantas menzahirkan usaha kerajaannya untuk menaikkan gaji minimum sejak memegang jawatan pada 2018.

Walaupun kesatuan sekerja mahukan gaji minimum 1,100 euro (RM5,096.25) untuk 14 bulan, mereka memuji pengumuman itu.

"Akan ada kira-kira 2.5 juta penerima dan ia akan memberi impak yang lebih besar kepada wanita, golongan muda, mereka yang mempunyai kontrak sementara atau bekerja dalam pertanian atau sektor perkhidmatan," komen ketua kesatuan CCOO, Unai Sordo menerusi Twitter

Rundingan mengenai kenaikan gaji minimum diboikot kumpulan majikan atas alasan kebimbangan mereka tidak diambil kira.

"Biarkan mereka memberi kami angka itu dan menyelesaikannya," kata Antonio Garamendi, ketua lobi perniagaan CEOE kepada pemberita.

Kenaikan baharu dalam gaji minimum berlatar belakangkan inflasi yang tinggi, walaupun kenaikan harga perlahan dengan ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Inflasi berada pada 5.8 peratus pada Januari, selepas memuncak pada 10.8 peratus pada Julai, paras tertinggi dalam 38 tahun.

Pengumuman itu dibuat ketika Sepanyol sibuk dengan pelbagai pilihan raya termasuk untuk perbandaran, Mei ini, dan pilihan raya umum pada penghujung tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 9:29 AM