BOLSONARO (kanan0 ketika bertemu Trump. FOTO AGENSI
BOLSONARO (kanan0 ketika bertemu Trump. FOTO AGENSI
Agensi

Washington: Presiden Donald Trump dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata beliau tidak mengalami sebarang gejala penyakit Covid-19, lapor agensi berita Sputnik.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil langkah berjaga-jaga selepas bertemu Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, Trump berkata, “tidak”.

“Kami tidak mempunyai sebarang gejala. Seperti yang anda tahu, dia (Bolsonaro) telah diuji negatif,” kata Trump.

Bolsonaro bertemu Presiden Amerika Syarikat itu di Florida hujung minggu lalu.

Sementara itu, akhbar Brazil, Estado de S Paulo yang dipetik Reuters berkata, Bolsonaro akan menjalani ujian kedua selepas ujian dibuat pada Jumaat mendapati negatif Covid-19.

Ujian itu akan dilaksana awal minggu hadapan untuk mengesahkan sama ada Bolsonaro benar-benar dijangkiti atau tidak, kata akhbar itu tanpa menamakan sumbernya.

Bagaimanapun, wakil media pejabat Bolsonaro enggan mengulas mengenai perkara itu.

Bolsonaro dan sebahagian wakil kerajaan Brazil termasuk menteri kabinetnya mengadakan pertemuan dengan Trump dan pemimpin AS minggu lalu di Mar-a-Lago di Florida.

Namun, Setiausaha Komunikasi Bolsonaro, Fabio Wajngarten yang menghadiri majlis itu disahkan positif Covid-19 pada Khamis dan menjalani kuarantin di rumah, selain pegawai Kedutaan Brazil di Washington.

Fox News dan akhbar tempatan sebelum ini melaporkan keputusan Bolsonaro menunjukkan beliau positif Covid-19, bagaimanapun anaknya, Eduardo kemudian memaklumkan Fox News bahawa bapanya tidak dijangkiti.

“Ujian beliau negatif. Titik,” katanya tanpa menjawab sama ada ujian pertama yang dijalankan sebelum ini positif Covid-19 atau tidak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 4:23 PM