BERLIAN Fortune Pink. FOTO AFP
BERLIAN Fortune Pink. FOTO AFP
AFP

Geneva: Berlian Fortune Pink, batu permata gergasi yang sangat jarang ditemukan, dijual dengan harga lebih AS$28.5 juta (kira-kira RM133.4 juta).

Ia dijual ketika acara lelongan di sini, Selasa lalu, kepada pengumpul persendirian dari Asia.

Seberat 18.18 karat, ia adalah berlian merah jambu terang berbentuk pir terbesar yang pernah dijual pada acara lelongan, kata rumah lelong Christie.

Berlian mempesonakan itu dijual pada harga 24.5 juta Swiss franc (kira-kira RM117 juta), sebelum bidaan meningkat kepada 28,436,500 Swiss franc (kira-kira RM134 juta).

Bidaan itu berlangsung selama empat minit bermula dengan 17 juta franc Swiss (kira-kira RM81.2 juta) dan membabitkan saingan tiga penjuru antara pembida telefon, dengan pemenang akhirnya berjaya mendapatkan permata itu selepas menaikkan bidaan sebanyak setengah juta.

Berlian itu sudah dipamerkan di sini, kemudian di New York, Amerika Syarikat (AS), Shanghai, Taiwan dan Singapura pada Oktober, sebelum kembali ke Switzerland.

Ia sudah dilelong dalam acara jualan Magnificent Jewels di Hotel des Bergues, sebahagian daripada jualan Minggu Mewah Christie di Geneva.

Fortune Pink sebelum ini dianggarkan akan meraih antara AS$25 juta (kira-kira RM117 juta) dan AS$35 juta (kira-kira RM165 juta).

Rekod dunia untuk harga lelongan berlian merah jambu dicatatkan pada 2017, apabila berlian dinamakan sebagai CTF Pink Star dijual di Hong Kong pada harga AS$71.2 juta (kira-kira RM335 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 1:34 PM