RISHI Sunak. FOTO AP
RISHI Sunak. FOTO AP
Agensi

London: Dominic Raab dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Setiausaha Kehakiman United Kingdom (UK), lapor The Straits Times.

Perdana Menteri Rishi Sunak, 42, turut melantik semula Jeremy Hunt, 55, sebagai Menteri Kewangan mengekalkan sekutu utamanya itu yang sudah pun memulakan kerja cuba membaiki kerosakan ekonomi yang disebabkan oleh pentadbiran Liz Truss.

Hunt, dilantik oleh Truss hanya 11 hari sebelum itu dalam usaha yang sia-sia untuk menyelamatkan jawatan perdana menteri, dilihat berjaya menstabilkan pasaran yang bergelora dalam tempoh singkatnya.

Raab, 48, penyokong besar kempen kepimpinan Sunak, memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Setiausaha Kehakiman ketika pentadbiran Perdana Menteri Boris Johnson.

Beliau juga memangku jawatan Perdana Menteri buat sementara waktu pada 2020 ketika Johnson dimasukkan ke hospital akibat Covid-19.

Sementara itu, Simon Hart, 59, bekas Setiausaha Wales, memberitahu Bloomberg dia dilantik sebagai ketua Whip untuk Sunak.

Hart ialah sekutu rapat bekas ketua Whip, Gavin Williamson, yang memainkan peranan penting dalam dua kempen kepimpinan Sunak tahun ini.

Suella Braverman dilantik semula sebagai Menteri Dalam Negeri kurang seminggu selepas dia meletak jawatan kerana melanggar peraturan kerajaan.

Braverman, 42, berundur sehari sebelum Truss meletak jawatan, selepas melanggar peraturan keselamatan e-mel.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai hala tuju kerajaan Truss dalam surat peletakan jawatannya.

Pertama kali dipilih ke Parlimen pada 2015, Braverman dianggap sebagai antara sayap kanan Parti Konservatif yang memerintah.

Beliau menyokong keluarnya UK daripada Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia (ECHR) sebagai satu-satunya cara negara itu dapat menyelesaikan masalah imigresennya.

Katanya, UK harus menggantikan ECHR dengan Rang Undang-undang Hak British yang diperkukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 11:47 AM