PETUGAS menyediakan vaksin cacar monyet di sebuah pusat vaksinasi di Los Angeles Timur. FOTO AFP
PETUGAS menyediakan vaksin cacar monyet di sebuah pusat vaksinasi di Los Angeles Timur. FOTO AFP
Agensi

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan, penularan jangkitan cacar monyet pada masa ini berlaku antara manusia, bukannya melalui haiwan.

Jurucakap WHO, Margaret Harris berkata, pihaknya kesal apabila monyet dipersalahkan atas lonjakan kes cacar monyet di Brazil hingga mengakibatkan banyak haiwan itu diserang secara fizikal, dibaling batu atau diracun di negara di rantau Amerika Selatan.

Katanya, walaupun jangkitan virus itu boleh berlaku dari haiwan ke manusia, namun lonjakan kes global baru-baru ini berpunca dari penularan hubungan rapat antara manusia dengan kebanyakan kes daripada hubungan sejenis lelaki.

"Kebimbangan harus mengenai di mana ia (beredar) dalam populasi manusia dan apa yang manusia boleh lakukan untuk melindungi diri mereka daripada mendapatkannya dan menularkannya.

"Namun, orang ramai sudah tentu tidak boleh menyerang mana-mana haiwan.

"Walaupun namanya cacar monyet, tetapi monyet bukanlah pembawa utama penyakit itu dan tiada kaitan dengan wabak semasa," katanya kepada pemberita di Geneva seperti dilaporkan portal The National.

Beliau berkata, cara terbaik untuk mengekang penularan virus itu ialah orang ramai yang mempunyai gejala untuk pergi mendapatkan rawatan perubatan, namun itu memerlukan kesedaran tinggi.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, kejadian serangan monyet itu berlaku di beberapa bandar di Brazil.

Sebagai contoh, dalam rizab semula jadi di Rio Preto, negeri Sao Paulo, 10 monyet kelihatan diracun atau dicederakan dengan sengaja dalam masa kurang seminggu, lapor laman berita G1.

Laporan itu menyebut, penyelamat dan aktivis mengesyaki monyet itu diracun dan diserang selepas tiga kes cacar monyet disahkan di kawasan itu.

Brazil, setakat ini, mencatatkan 1,700 kes cacar monyet dan satu kematian akibat penyakit itu, kata WHO.

Di peringkat global, lebih 28,100 kes dan 12 kematian direkodkan.

Kes itu semakin melonjak sejak Mei lalu membabitkan jangkitan di luar negara Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit itu sudah lama menjadi endemik.

Untuk rekod, cacar monyet mendapat namanya kerana virus itu mula-mula dikenal pasti dalam monyet yang disimpan untuk penyelidikan di Denmark, namun penyakit ini ditemui pada beberapa haiwan dan paling kerap pada tikus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 1:22 PM