BIOLA Stradivarius yang pernah digunakan untuk menghasilkan runut bunyi filem Wizard of Oz.
BIOLA Stradivarius yang pernah digunakan untuk menghasilkan runut bunyi filem Wizard of Oz.
AFP

New York: Biola jarang jumpa, Stradivarius yang pernah digunakan untuk menghasilkan runut bunyi filem Wizard of Oz dijual dengan nilai AS$15.3 juta (RM67.35 juta) pada satu acara lelongan di New York, Khamis lalu.

Biola buatan tukang mahir, Antonio Stradivari pada 1714 itu adalah milik Toscha Seidel.

Seidel bukan sahaja menggunakannya untuk runut bunyi filem klasik Hollywood yang ditayangkan pada 1939 itu, malah dipercayai pernah digunakannya untuk mengajar pelajar terkenalnya, Albert Einstein.

Pengasas Pusat Lelongan Tarisio, Jason Price berkata, daripada ribuan instrumen yang dibuat Stradivari, masih ada 600 alat muzik jenis itu yang diketahui setakat ini.

"Daripada jumlah itu, banyak yang berada di muzium, yayasan dan dalam keadaan yang tidak akan dijual.

"Terdapat juga beberapa pilihan yang dikenali antaranya instrumen ketika zaman emas untuk muzik, iaitu antara tahun 1710 dan 1720.

"Sebahagian besarnya adalah yang paling dikehendaki dan paling tinggi nilainya," katanya.

Rekod biola Stradivarius paling mahal dijual adalah pada 2011 apabila biola Lady Blunt dikatakan milik cucu penyair Lord Byron, Lady Anne Blunt dijual dengan nilai AS$15.9 jura (RM69.99 juta), di London.

Untuk lelongan terbaharu ini, Pusat Lelongan Tarisio mendedahkan biola Stradivarius itu adalah milik koleksi Munetsugu di Jepun.

Namun, ia tidak mendedahkan siapa pemilik baharu alat muzik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 6:45 AM