ANTARA 10 tentera Rusia yang didakwa terbabit dalam pembunuhan besar-besaran di Bucha.
ANTARA 10 tentera Rusia yang didakwa terbabit dalam pembunuhan besar-besaran di Bucha.
Agensi

Kyiv: Kementerian Pertahanan Ukraine pada Khamis berkongsi gambar dan nama 10 tentera Rusia yang didakwa terbabit dalam pembunuhan besar-besaran di Bucha.

Kementerian itu yang menggambarkan mereka sebagai '10 terkeji' mendakwa tentera terbabit sebahagian anggota briged ke-64 yang diberi penghormatan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin atas pembabitan di Bucha.

Selepas pengunduran tentera itu, lebih 410 mayat orang awam ditemui, kebanyakannya dengan tangan diikat dan ditembak di kepala.

Turut dijumpai bilik penyeksaan, di mana menjadi tempat lelaki dipukul dengan teruk sebelum dibunuh, di samping mayat wanita dan kanak-kanak.

Mayat mangsa sudah dikeluarkan dari bandar itu dan sedang diperiksa pakar forensik sebagai persediaan bukti untuk perbicaraan jenayah perang, kelak.

Perkongsian gambar dan nama tentera itu dibuat Kementerian Pertahanan Ukraine menerusi ciapan Twitter.

"Sepuluh penyembelih Rusia daripada briged ke-64 telah dikenal pasti dan dinamakan sebagai suspek yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan Bucha.

"Unit itu telah dianugerah atas kekejaman mereka dan kembali ke medan perang. Keadilan buat jenayah perang takkan dielakkan."

Awal bulan ini Putin menganugerahkan pingat kehormat kepada briged berkenaan atas "kepahlawanan dan keberanian" tetapi tidak menyebut mengenai perang di Ukraine.

Beliau menandatangani dekri penghormatan Briged Infantri Bermotor ke-64.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 7:20 AM