PASUKAN forensik mengeluarkan mayat individu yang terkorban semasa pencerobohan tentera Rusia di bandar Bucha, di luar Kyiv. FOTO Reuters
PASUKAN forensik mengeluarkan mayat individu yang terkorban semasa pencerobohan tentera Rusia di bandar Bucha, di luar Kyiv. FOTO Reuters
Agensi

Kyiv: Pihak berkuasa Ukraine mengumpul mayat 765 orang awam, termasuk 30 kanak-kanak di sekitar Kyiv sejak tentera Rusia berundur dari kawasan berkenaan pada awal April, kata seorang pendakwa raya kanan di wilayah itu.

Timbalan ketua pendakwa wilayah Kyiv, Oleh Tkalenko berkata pegawai menjangkakan bahawa banyak lagi mayat akan ditemukan dalam beberapa minggu akan datang, lapor The Guardian.

"Ini hanya permulaan. Kami baru sahaja mula bekerja di bandar-bandar besar seperti Borodianka, Hostomel, Irpin dan Bucha. Masih banyak yang belum kita gali," katanya.

Beberapa kubur besar ditemukan sejak pihak berkuasa Ukraine menguasai semula wilayah Kyiv yang sebelum ini berada di bawah pendudukan Rusia.

"Mendokumentasikan setiap individu dengan betul memerlukan masa dan usaha. Tetapi kita perlu melakukannya supaya kita mempunyai bukti supaya tidak ada sebarang cerita tentang ia palsu.

"Saya percaya bahawa tentera Rusia sengaja meninggalkan mayat rakyat yang mereka bunuh di jalanan dan melarang orang menanamnya untuk menakutkan penduduk," katanya.

Beliau memberi gambaran pihaknya sedang menyiasat tiga kes dakwaan penyeksaan terhadap orang awam di wilayah itu.

Rusia berulang kali menafikan menyasarkan orang awam dan berkata, dakwaan Ukraine dan Barat mengenai jenayah perang adalah direka-reka.

Tkalenko mendakwa di bandar Motyzhyn, tentera Rusia memilih sembilan orang yang mereka percaya membantu tentera Ukraine, di mana enam daripadanya diseksa hingga mati dan tiga terselamat, katanya.

"Mereka dibogelkan, dimasukkan ke dalam lubang, dipukul. Mereka ditembak di kaki, lengan, dan diseksa. Mereka dibiarkan kelaparan," katanya.

Beliau berkata, pegawai memulakan kerja untuk kes lebih besar yang didakwa membabitkan lebih 40 orang di kampung Dymer, utara Kyiv.

"Mereka dijadikan sebagai buruh paksa. Tentera mengarahkan mereka menggali kubur mereka sendiri dan mematahkan jari mereka. Mereka menembak berhampiran kepala dan di antara kaki penduduk.

"Sesiapa yang enggan bercakap, atau jika mereka tidak menyukai apa yang mereka katakan, ditembak di lengan. Mereka dicekik, lengan mereka dipintal," katanya.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia, setakat ini, secara rasmi merekodkan 4,4,50 mangsa orang awam di Ukraine.

Ia meliputi 1,892 yang dibunuh, manakala 2,558 lagi cedera.

Bagaimanapun, angka itu dijangka lebih tinggi memandangkan kerja dokumentasi masih dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 10:25 AM