ASAP tebal dilihat dari kilang keluli Azovstal di Mariupol, Ukraine. FOTO Mariupol City Council/ Reuters
ASAP tebal dilihat dari kilang keluli Azovstal di Mariupol, Ukraine. FOTO Mariupol City Council/ Reuters
AFP

Kyiv: Rusia melancarkan serangan berskala besar ke timur negara itu, kata pemimpin Ukraine, menjadikan ia fasa baharu pencerobohan selepas gagal menawan ibu negara berkenaan.

Dalam beberapa minggu lalu, operasi ketenteraan Moscow memfokuskan semula di wilayah timur Donbas yang sebahagiannya dikawal oleh kumpulan pemisah pro-Kremlin, sejak 2014.

"Kami kini mengesahkan tentera Rusia sudah memulakan pertempuran di Donbas yang sudah dinantikan mereka sejak sekian lama.

"Tidak kira berapa ramai tentera Rusia yang akan dikerahkan, kita akan berjuang dan mempertahankan tanah air ini," kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menerusi Telegram, pada Isnin.

Dianggarkan, penguasaan itu akan diperluaskan menyebabkan pihak berkuasa Ukraine menggesa orang ramai di Donbas untuk melarikan diri ke barat negara berkenaan.

"Fasa kedua perang kini bermula," kata Ketua Kakitangan Presiden, Kyiv Andriy Yermak.

Penguasaan di Donbas membolehkan Moscow untuk mewujudkan koridor selatan hingga ke semenanjung Crimea.

Di selatan wilayah itu, Rusia meneruskan usahanya untuk menawan bandar pelabuhan Mariupol yang sudah dikepung yang kini masih dikawal pasukan tentera Ukraine.

Namun, di sebalik keadaan terdesak di bandar itu, seorang pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarika (AS) berkata, saingan untuk mendapatkan Mariupol masih berlangsung.

Rusia juga menambah 11 batalion taktikal yang terdiri artileri, helikopter dan sokongan logistik kepada pasukannya di timur Ukraine menjadikan keseluruhan 76 kumpulan, kata pegawai negara itu.

Pada Isnin, AS menghantar bantuan ketenteraan pertamanya yang sudah tiba di sempadan Ukraine dalam usaha menentang pencerobohan Rusia.

Pada 13 April lalu, AS menghantar kelengkapan ketenteraan bernilai AS$800 juta (kira-kira RM3.4 bilion) ke Ukraine termasuk helikopter, kenderaan perisai dan anggota bersenjata.

Tentera Rusia pada Isnin menggempur sasaran di seluruh negara dengan membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang di bandar Lviv.

Lviv sebelum ini masih tidak diserang Rusia sejak 24 Februari lalu menjadikan bandar itu dan sekitarnya lokasi rakyat tempatan menyelamatkan diri.

"Namun kini kami faham dengan jelas bahawa tiada lagi lokasi selamat di Ukraine.

"Ini sesuatu yang sangat berbahaya," kata kakitangan bank yang dikenali sebagai Batalia kepada AFP selepas serangan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 11:56 AM