X
ALAN Pidgley dan sebahagian daripada burung merpatinya. FOTO Solent News
ALAN Pidgley dan sebahagian daripada burung merpatinya. FOTO Solent News
Agensi

London: Warga emas didenda Mahkamah Majistret Southampton, United Kingdom kerana sekumpulan burung merpatinya sering membuat bising.

Alan Pidgley, 70, mula membela 15 merpati bersama isterinya Tara sejak dua tahun lalu dengan menamakan kurungan haiwan itu, Mr Pidgley's Pigeon Loft, namun dia gagal mematuhi peraturan bunyi bising Majlis Daerah New Forest, hingga dia didenda.

Masalah itu timbul apabila jirannya, Rebecca Wells, tidak meminati haiwan itu kerana dakwanya bunyi burung itu mengganggu ketenteraman.

Dakwa wanita itu ketika melaporkan kes terbabit kepada pihak majlis, dia dan suaminya dipaksa berpindah dari New Forest yang didiami mereka, sejak sedekad lalu.

Siasatan pihak majlis mendapati burung terbabit melakukan 'gangguan berkanun' dan mengarahkan Pidgley supaya mengurangkan bunyi bising, contohnya dengan menyingkirkan beberapa burung merpati itu.

Namun, arahan itu tidak diendahkan Pidgely sebelum dia didakwa ke mahkamah dan diperintahkan membayar denda sebanyak 500 Pound Sterling (RM2,820.71) dan sejumlah kos 450 Pound Sterling (RM2,538.64).

Penyelia pembersihan yang bertugas 30 tahun di Majlis Daerah New Forest serta bapa kepada tiga anak itu memberitahu majistret, dia sudah memindahkan burung itu, sejauh mungkin daripada jirannya itu.

"Jiran saya yang lain tidak ada masalah dengan burung ini walaupun lebih dekat dengan tempat burung itu disimpan berbanding Wells.

"Saya juga sudah mencadangkan jiran saya itu memasang kaca berlapis untuk mengurangkan gangguan bunyi," katanya dalam Metro UK.

Katanya, dia rasa sedih kerana terpaksa membuang separuh daripada burung berkenaan bagi mengelak dikenakan denda lagi.

Sementara itu, kebanyakan jirannya berkata, mereka tiada masalah dengan burung berkenaan malah sanggup mengumpul dana bagi membayarkan denda dikenakan terhadap jirannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 2:37 PM