TYSON bersama merpati peliharaannya. FOTO Agensi
TYSON bersama merpati peliharaannya. FOTO Agensi
Agensi

LEGENDA tinju Amerika Syarikat, Mike Tyson terbabit pertelagahan dengan beberapa jirannya gara-gara burung merpati peliharaannya membuang najis ke atas harta mereka.

Dia memelihara burung terbabit sebagai satu cara meningkatkan tahap kesihatan mental selepas bersara daripada sukan tinju.

Tetapi jirannya di Las Vegas baru-baru ini mula naik angin apabila mendapati kereta mereka menjadi sasaran najis merpati milik Tyson yang seterusnya merosakkan cat kenderaan.

'Iron Mike' mendedahkan: "Mereka cuba menghentikannya di Vegas tetapi ia sia-sia. Mereka tak dapat menghentikan saya.

"Semua orang sangat 'menyibuk'. Seluruh blok, persatuan pemilik rumah, semuanya dengan tiba-tiba. Mereka benci 'permainan' saya.

"Najis itu seperti asid. Jika anda biarkannya sahaja, ia akan membakar kereta anda."

Legenda berusia 54 tahun itu mendedahkan keisimewaan hubungannya dengan merpati yang dianggap mempunyai tahap kesetiaan yang tinggi.

"Ini barang pertama yang saya sayang dalam hidup - merpati. Apa yang kami sayang dengannya ialah kesetiaan burung ini.''

Pada 2015 sahaja, 'Baddest Man on the Planet' itu mempunyai 74 merpati pelbagai spesis dan dia mampu mengenali setiap spesis burung itu.

Bekas juara tinju dunia itu kini sedang bersiap sedia menentang Roy Jones Jr dalam pertarungan pertamanya dalam masa 15 tahun.

Pertarungan itu dijadualkan pada 12 September tetapi laporan The Ring mendakwa ia mungkin ditunda ke 28 November.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 2:30 PM