BURUNG yang ditangkap penduduk kampung. FOTO Agensi
BURUNG yang ditangkap penduduk kampung. FOTO Agensi
Agensi

NEW DELHI: Polis India menangkap seekor burung merpati di Kashmir kerana disyaki menjadi 'ejen perisik' yang dilatih oleh Pakistan.

News.sky.com melaporkan burung yang membawa bersama kod pesanan itu ditangkap penduduk kampung di Manyari berhampiran bahagian Kashmir yang dikuasai Pakistan.

Pegawai polis memberitahu agensi berita India PTI bahawa agensi keselamatan cuba menguraikan kandungan mesej berkenaan.

Penguasa Kanan Polis Kathua Shailendra Mishra memaklumkan penduduk kampung menyerahkan burung merpati itu kepada polis.

Beliau berkata, ia selepas mereka melihat burung itu terbang ke rumah seorang wanita Pakistan.

"Sebentuk cincin dilihat melekat pada salah satu kakinya dengan beberapa angka yang diaktifkan padanya.

"Kami tidak dapat memastikan ia digunakan untuk mengintip. Tetapi, penduduk tempatan yang melihat haiwan itu bertindak kemudian menangkap burung berkenaan.

"Ada yang menyebutnya sebagai pesanan berkod. Di wilayah Punjab di Pakistan, orang mengikat tanda nombor pada merpati sebagai tanda ia bertuan," katanya.

Sebelum ini, berlaku insiden yang mana burung digunakan untuk mengintip di kawasan wilayah bergolak itu.

Menurut laporan media tempatan, seekor burung ditangkap pada 2015 beberapa kilometer dari sempadan selepas ia dilihat membawa 'cap pesanan' pada badannya.

Pada Oktober 2016, seekor burung merpati ditangkap selepas polis di Pathankot, Punjab menemui nota ugutan terhadap Perdana Menteri India, Narenda Modi.

Hubungan India dan Pakistan kerap kali bergolak sejak pembentukan Pakistan pada 1947.

Kali terakhir, kedua negara berperang adalah pada 1971.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 8:52 AM