LILIN dan bunga yang diletakkan di depan Kedutaan Perancis di Berlin, sebagai tanda simpati terhadap kematian Samuel Paty. FOTO EPA.
LILIN dan bunga yang diletakkan di depan Kedutaan Perancis di Berlin, sebagai tanda simpati terhadap kematian Samuel Paty. FOTO EPA.
AFP

Paris: Empat murid sekolah ditahan polis kerana disyaki membantu lelaki yang memenggal kepala seorang guru sejarah di luar sekolah di sini, Jumaat lalu.

Suspek memenggal kepala Samuel Paty, 47, selepas mangsa sebelum itu dikatakan menunjukkan kartun yang didakwa Nabi Muhammad SAW.

Polis Perancis berkata, semua murid berkenaan dipercayai membantu suspek untuk mengenal pasti guru berkenaan.

Pihak berkuasa percaya bahawa 'seorang atau lebih murid membantu suspek' dan kemudiannya mendapat ganjaran wang.

Mereka adalah antara 15 individu yang ditangkap bagi membantu siasatan kes itu, setakat ini.

Antaranya, ibu bapa suspek, datuk dan adiknya yang ditangkap pada hujung minggu lalu.

Turut ditangkap, seorang bapa yang dikatakan melancarkan kempen dalam talian terhadap guru terbabit.

Seorang lagi yang ditangkap adalah individu yang dipercayai memandu kenderaan dinaiki suspek untuk ke lokasi kejadian.

Selain itu, individu ditahan lain termasuk yang menemani suspek ketika dia membeli senjata digunakan dalam kejadian terbabit.

Media melaporkan Paty maut selepas kepalanya dipenggal di luar sekolah dekat Conflans Saint-Honorine, petang Jumaat lalu.

Guru sejarah berkenaan sebelum itu menunjukkan kartun Nabi Muhammad sebagai bahan perbincangan mengenai kebebasan bersuara.

Polis yang tiba di tempat kejadian menembak mati suspek dikenali Abdullakh Anzorov.

Suspek adalah remaja lelaki kelahiran Moscow dan berketurunan Chechnya, yang berusia 18 tahun.

Kes itu mendapat liputan meluas sehingga menyebabkan demonstrasi besar-besaran di seluruh Perancis.

Berita berkaitan:

  • Rakyat Perancis ikrar solidariti
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 9:01 AM