SEORANG penumpang yang berjaya diselamatkan memaut mayat anaknya selepas tiba di pelabuhan di Kolaka, tenggara Sulawesi, kelmarin.
SEORANG penumpang yang berjaya diselamatkan memaut mayat anaknya selepas tiba di pelabuhan di Kolaka, tenggara Sulawesi, kelmarin.
Agensi

Siwa: Pasukan penyelamat semalam meneruskan usaha mencari mangsa kemalangan feri di perairan Sulawesi sementara anggota keluarga penumpang yang masih belum ditemui cemas menanti berita mengenainya.

Hampir 80 orang masih hilang selepas feri membawa 118 penumpang itu menghadapi masalah di laut yang bergelora Sabtu lalu ketika ia belayar merentasi teluk di selatan Pulau Sulawesi.

Tiga orang disahkan mati dan 39 diselamatkan, tetapi pasukan penyelamat sehingga petang semalam masih belum berjaya menemui feri berkenaan, dua hari selepas ia menghantar isyarat kecemasan.

Enam bot, termasuk dua kapal nelayan dan sebuah helikopter dikerah ke kawasan feri itu hilang.

Anggota keluarga mangsa berkumpul di Siwa, bandar pelabuhan kecil yang menjadi destinasi feri itu.

Ramai yang memegang gambar anggota keluarga yang hilang.

Sia, 50, berkata, anak saudaranya menelefonnya petang Sabtu lalu untuk memberitahunya feri itu mengalami kerosakan enjin dan ia mula dimasuki air.

Hasan, 67, berkata, anak saudaranya Wiwin, juruteknik feri berkenaan menelefonnya ketika bot berkenaan terperangkap dalam ribut.

“Dia meminta saya berdoa untuknya,” kata Hasan.

Sementara itu, selepas dua hari berdepan dengan ombak tinggi dan angin kencang, cuaca semalam di kawasan kejadian agak baik.

Bagaimanapun, sehingga petang semalam, belum ada berita mengenai feri itu ditemui.

Penduduk di Sulawesi bergantung kepada perkhidmatan feri untuk memendekkan masa perjalanan mereka.

Bagaimanapun, di seluruh Indonesia, negara yang terdiri daripada lebih 17,000 pulau, kemalangan maritim sering berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 10:26 AM