PERMAINAN itu dicipta untuk memberi peluang kepada 5,000 kakitangan syarikat berkenaan membawa pulang bonus tahunan. FOTO Douyin
PERMAINAN itu dicipta untuk memberi peluang kepada 5,000 kakitangan syarikat berkenaan membawa pulang bonus tahunan. FOTO Douyin
Agensi

Beijing: Sebuah syarikat di China, baru-baru ini, menarik perhatian apabila menawarkan bonus tahunan bernilai 100 juta yuan (kira-kira RM67 juta) untuk kakitangan mereka menerusi satu permainan, lapor South China Morning Post.

Permainan itu dicipta untuk memberi peluang kepada 5,000 kakitangan syarikat berkenaan membawa pulang bonus tahunan mereka, mengikut kemampuan mereka untuk mengira wang.

Acara itu dianjurkan sebuah syarikat di wilayah tengah, Henan, 5 Februari lalu, hingga meraih perhatian netizen.

Dalam perkongsian tular, wang tunai kertas berjumlah 100 yuan (RM66.60) terbentang di atas meja sepanjang 50 meter.

Menurut saluran media, Star Video, kakitangan syarikat itu boleh membawa pulang jumlah wang yang mereka kira, dalam slot masa diberikan.

Masa diberikan kepada mereka adalah antara satu, tiga, lima, 10 dan 15 minit, dan ia diputuskan menerusi undian.

Permainan ini juga mempunyai peraturan iaitu 1,000 yuan (RM665.98) ditolak, untuk setiap wang kertas yang salah dikira.

Syarikat itu menyediakan 20 kaunter wang untuk pemeriksaan terbabit.

Salah seorang kakitangan menjadi pemenang bertuah apabila berjaya menggondol 97,800 yuan (kira-kira RM65,132.95).

KAKITANGAN Syarikat Kren Kuangshan merebut wang bonus mereka.  FOTO Baidu
KAKITANGAN Syarikat Kren Kuangshan merebut wang bonus mereka. FOTO Baidu

Ini bukan kali pertama syarikat itu tular kerana menyediakan skim bonus akhir tahunnya.

Tahun lalu, syarikat itu memperuntukkan 61 juta yuan (RM40.6 juta) kepada 40 pekerja yang mempunyai prestasi terbaik dengan tiga jurujual teratas masing-masing menerima lima juta yuan (RM3.33 juta).

Seorang kakitangan, Feng berkata, setiap seorang daripada tiga jurujual berkenaan menjual produk bernilai lebih 100 juta yuan, pada tahun lalu.

Syarikat itu juga mengadakan jamuan tahunan untuk ibu bapa kakitangan.

Bos syarikat itu, Cui Peijun diberi gelaran bos paling pemurah di China.

Kemurahan hati pemilik syarikat itu, menarik ratusan permohonan kerja berminat berkhidmat untuk syarikat terbabit.

Berdasarkan tinjauan Syarikat Perunding Pengurusan CIIC, 74 peratus syarikat di China memberikan bonus akhir tahun pada 2022, walaupun undang-undang buruh di negara itu tidak mengenakan syarat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 12:00 PM