WANITA mendakwa dikurung suaminya di dalam rumah sejak berkahwin 12 tahun lalu. FOTO Agensi
WANITA mendakwa dikurung suaminya di dalam rumah sejak berkahwin 12 tahun lalu. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Seorang wanita di Karnataka Mysuru yang mendakwa dikurung oleh suami di kediaman mereka sejak 12 tahun lalu, diselamatkan polis baru-baru ini.

Wanita itu bagaimanapun enggan membuat laporan polis dan mengambil keputusan tinggal di rumah ibu bapanya.

Indiatoday melaporkan, wanita berusia awal 30-an itu mendakwa suaminya membiarkannya terkunci di dalam rumah mereka selama 12 tahun, iaitu sejak berkahwin.

Akibatnya, dia terpaksa menggunakan kotak kecil untuk membuang air besar dan kecil.

Menurut wanita itu, dua anak mereka akan menunggu di luar rumah selepas pulang dari sekolah sehingga suaminya pulang dari kerja, dan membenarkan mereka masuk.

"Sudah 12 tahun sejak saya berkahwin. Dia selalu mengunci saya di dalam rumah dan keadaan ini menyeksakan saya.

"Tiada seorang pun di kawasan ini yang mempersoalkan tindakannya.... Anak-anak saya pergi sekolah, tetapi mereka akan berada di luar rumah sehingga suami balik kerja.

"Saya akan memberi makanan kepada mereka melalui tingkap," katanya kepada India Today.

Bagaimanapun, pegawai kanan polis berkata, wanita itu hanya dikurung di dalam rumahnya antara dua hingga tiga minggu lalu.

"Pergerakan wanita itu dihadkan. Sebelum ini dia pernah melawat ibu bapanya.

"Suami mengurung wanita itu di dalam rumah sebelum pergi bekerja kerana dia berasa tidak selamat. Lelaki itu sudah diberi kaunseling," kata pegawai itu kepada India Today.

Wanita itu adalah isteri ketiga kepada lelaki berkenaan.

Selepas diselamatkan, wanita itu diberi kaunseling, dan memaklumkan tidak mahu membuat laporan terhadap suaminya dan akan tinggal di rumah ibu bapanya, serta menyelesaikan masalah rumah tangga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 3:15 PM