TENTERA Israel menyamar dan menembak tiga orang di hospital. FOTO Agensi
TENTERA Israel menyamar dan menembak tiga orang di hospital. FOTO Agensi
AFP

Baitulmaqdis: Tentera Israel menyamar sebagai orang awam dan kakitangan perubatan sebelum menyerbu dan menembak mati tiga penduduk Palestin di sebuah hospital di bandar Jenin, Tebing Barat, semalam.

Al Jazeera yang memetik Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan, pembunuhan itu dilakukan tentera yang menyamar ketika lelaki itu sedang tidur di Hospital Ibn Sina.

"Pagi ini (semalam) tiga lelaki muda syahid akibat peluru tentera penjajah (Israel) yang menyerbu Hospital Ibn Sina di Jenin dan menembak mereka," kata kementerian dalam kenyataan di Ramallah.

Sementara itu, tentera Israel berkata, tenteranya meneutralkan suspek lelaki itu yang bersembunyi di hospital yang dipercayai anggota Hamas.

Rakaman kamera keselamatan yang tular dalam talian menunjukkan kira-kira 12 tentera Israel melakukan penyamaran termasuk tiga yang berpakaian wanita dan dua lagi berpakaian seperti kakitangan perubatan, berjalan di koridor hospital dengan senapang.

Tentera Israel mengenal pasti salah seorang lelaki yang terbunuh sebagai Mohammad Jalamneh, 27, yang didakwa merancang serangan pada masa akan datang dan memindahkan senjata dan peluru kepada anggota lain.

Dakwanya, dua lagi lelaki yang terbunuh, adik-beradik, Basil dan Mohammad Ghazawi bersembunyi di dalam hospital itu.

"Sepucuk pistol ditemukan pada orang yang dikehendaki dan dirampas tentera," kata kenyataan tentera Israel.

Sementara itu, kumpulan Hamas dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan membalas jenayah tentera Israel itu.

"Pembunuhan itu tindakan jenayah penjajah yang berterusan terhadap rakyat kita dari Gaza ke Jenin.

"Seorang daripada lelaki itu pesakit yang cedera dan berada di atas katil ketika dia dibunuh," kata Hamas.

Hamas mengesahkan, Mohammad Jalamneh salah seorang anggota mereka.

Briged Jenin, sayap kumpulan pejuang Palestin mengesahkan, dua daripada tiga lelaki itu anggota Jihad Islam.

Basil cedera akibat serpihan peluru berpandu berikutan serangan dron Israel pada 25 Oktober lalu yang menyasarkan sekumpulan lelaki berhampiran tanah perkuburan kem Jenin, dan menerima rawatan di hospital itu selama tiga bulan, menurut sumber Al Jazeera.

Kementerian Luar Negeri Palestin mengutuk secara sekeras-kerasnya pembunuhan tentera Israel terhadap tiga pemuda itu.

Dalam pada itu, orang ramai memenuhi jalanan Jenin ketika upacara pengebumian ketiga-tiga lelaki berkenaan.

Mereka akan dikebumikan di tanah perkuburan di kem pelarian Jenin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 12:06 PM