ASAP tebal susulan pengeboman Israel di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
ASAP tebal susulan pengeboman Israel di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
Reuters

Baitulmaqdis: Tentera Israel terus menyerang dan bertempur di jalanan dengan pejuang Hamas di seluruh Semenanjung Gaza pada Ahad ketika pegawai kesihatan Palestin memaklumkan angka kematian sejak perang itu meletus pada Oktober lalu, melepasi 25,000.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, 178 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu.

Tentera Israel berkata, seorang askar terbunuh dalam pertempuran.

Tentera Israel dan pejuang Hamas bertempur di beberapa tempat, dari Jabalia di utara Gaza hingga Khan Younis di selatan enklaf itu, yang menjadi tumpuan operasi Israel, baru-baru ini.

Pesawat Israel meneruskan pengeboman berat ke atas Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza dan letupan kedengaran di seluruh bandar.

Letupan menerangi langit di kem pelarian Khan Younis dan pegawai kesihatan Palestin berkata, seorang rakyat Palestin terbunuh dan tujuh cedera dalam satu serangan udara.

Israel berkata, tenteranya sudah 'membersihkan' sebahagian besar utara Gaza daripada rangkaian ketenteraan Hamas.

Lebih satu juta penduduk di kawasan itu bergerak ke kawasan di selatan Gaza untuk melarikan diri dari pengeboman.

Pertempuran, bagaimanapun, berterusan di kem pelarian Jabalia dan kawasan lain di sekitar Bandar Gaza.

Israel melancarkan kempennya untuk menghapuskan Hamas yang disokong Iran selepas pejuang melakukan serangan di selatan negara itu pada 7 Oktober lalu.

Kesannya, 1,200 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam dan pejuang Hamas membawa 253 tebusan kembali ke Gaza.

Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas pula berkata, 25,105 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dan 62,681 cedera dalam serangan Israel sejak 7 Oktober lalu.

Ia tidak membezakan antara kematian orang awam dan pejuang, tetapi mengatakan kebanyakan mereka yang terbunuh adalah orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 11:54 AM