GAMBAR hiasan. FOTO AFP.
GAMBAR hiasan. FOTO AFP.
Agensi

Jakarta: Tidak tahan dicabul selama bertahun, seorang kanak-kanak di Jawa Barat, Indonesia nekad merakam perbuatan terkutuk bapa angkatnya sebelum menyerahkan video itu kepada pihak polis.

Susulan bukti itu, polis Tasikmalaya, menahan lelaki berusia 58 tahun pada Rabu lalu atas dakwaan mencabul kanak-kanak berusia 12 tahun berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Suspek dikatakan akan mengugut mangsa dengan parang setiap kali mahu memenuhi keinginan seksualnya dan senjata itu secara tidak langsung untuk menakutkan mangsa agar tidak melaporkan kepada sesiapa.

Sebelum ini mangsa dikatakan pernah mengadu perbuatan bapa angkatnya itu kepada orang kampung, namun dia didakwa menipu kerana tiada bukti.

Disebabkan itu, kanak-kanak berkenaan merakam video perbuatan terbabit secara sembunyi, sebelum ia diserahkan kepada polis.

Unit Siasatan Jenayah Polis Tasikmalaya, Ridwan Budiarta yang dilapor Kompas berkata, suspek mencabul mangsa sejak dia darjah tiga hingga enam dan perbuatan dilakukan di rumah suspek.

"Mangsa diancam dengan parang yang kerap diasah dan dengan kekerasan. Jadi mangsa jadi takut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tasikmalaya, Bayu Catur Prabowo berkata, kes itu terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis dan menyerahkan bukti video.

Siasatan mendapati suspek pernah berkahwin dan bercerai dua tahun lalu dan mangsa diambil sebagai anak angkat ketika masih bersama bekas isteri.

"Suspek ini kesunyian kerana tidak mempunyai pasangan, akhirnya melampias nafsunya terhadap anak itu," katanya.

Polis merampas barang bukti lain termasuk pakaian suspek, pemacu kilat berisi video perbuatan suspek dan parang.

Sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara 15 tahun di bawah undang-undang Jenayah Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 4:13 PM