Warga emas yang disyaki mencabul anak angkatnya direman tujuh hari untuk membantu siasatan. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Warga emas yang disyaki mencabul anak angkatnya direman tujuh hari untuk membantu siasatan. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


POLIS menahan lelaki warga emas yang disyaki mencabul anak angkatnya berusia 17 tahun sejak setahun lalu, selepas remaja itu membuat laporan polis semalam.

Lelaki 64 tahun itu ditahan pada hari sama laporan polis dibuat, dipercayai mencabul anak angkat perempuannya di rumah mereka di Lukut, Port Dickson tanpa pengetahuan isteri serta anaknya yang lain.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, perlakuan sumbang itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada guru sekolah sebelum dibawa membuat laporan polis.

“Berdasarkan maklumat diterima, pelajar tingkatan lima itu mengadu kepada guru sekolah selepas tidak tahan diperlakukan demikian oleh suspek.

“Mangsa mendakwa kali terakhir suspek melakukan perbuatan itu di biliknya pada 9 malam, Sabtu lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Aidi Sham berkata, susulan laporan yang dibuat mangsa, suspek ditahan di rumahnya 4 petang.

Katanya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk siasatan manakala mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 14 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 3:21 PM